Isnin, 13 Disember 2021 | 7:04pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Resolusi anti-minyak sawit, rosakkan hubungan perdagangan bebas

KUALA LUMPUR: Malaysia menyatakan komitmennya terhadap kerjasama pelbagai hala dan kepentingan inisiatif yang akan meningkatkan lagi liberalisasi perdagangan melalui sistem perdagangan pelbagai hala yang berpusatkan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Kementerian Luar dalam satu kenyataan menjelaskan, komitmen itu disuarakan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri dan Pembangunan G7 bersama tetamu ASEAN yang berlangsung secara hidbrid, semalam.

Dalam mesyuarat itu, katanya, Saifuddin menyatakan bahawa Malaysia melihat kempen dan resolusi anti-minyak sawit sebagai merosakkan hubungan perdagangan dan bercanggah dengan prinsip perdagangan bebas.

"Beliau menekankan Malaysia sudah mengekalkan 55.3 peratus kawasan tanahnya di bawah litupan hutan rimba, yang melebihi komitmen Malaysia pada Sidang Kemuncak Bumi Rio 1992," katanya dalam kenyataan itu.

Katanya, Malaysia juga mengalu-alukan komitmen G7 untuk mempercepatkan bekalan vaksin khususnya untuk negara miskin melalui COVAX serta menyambut baik inovasi untuk menghasilkan vaksin lebih berkesan terhadap jangkitan COVID-19 serta ancaman kesihatan masa depan.

"Serta memastikan vaksin diagihkan secara adil dan saksama kepada semua, termasuk melalui perkongsian dos, pengukuhan dan pembukaan rantaian bekalan, serta pengembangan kapasiti pengeluaran vaksin," katanya.

Selain itu, katanya, Menteri Luar mengulangi pendirian Malaysia mengenai situasi di Myanmar dan menzahirkan penghargaan atas sokongan ahli G7 terhadap usaha ASEAN berkaitan dengan Kemuafakatan Lima Perkara ASEAN.

"Menteri Luar turut meminta kerjasama dalam pembinaan kapasiti untuk mencegah, memerangi dan membanteras kegiatan jenayah di laut. Beliau juga mengulangi pendirian Malaysia di Laut China Selatan dan menekankan kepentingan mengekalkan Laut China Selatan sebagai lautan perdagangan dan kemakmuran.

"Beliau juga meminta kerjasama ASEAN-G7 mengenai ekonomi digital sebagai pemacu utama bagi pemulihan pasca-pandemik yang berdaya tahan dan mampan. Dalam hubungan ini, beliau menekankan keperluan untuk memberi tumpuan kepada infrastruktur dan teknologi, bakat, kandungan dan kos," katanya.

Katanya, mesyuarat ASEAN-G7 adalah pembabitan pertama ASEAN dengan G7, dengan tumpuan perbincangan terarah kepada pelbagai isu kepentingan bersama, antara lain perdagangan dan pelaburan, teknologi digital, keselamatan siber, pembangunan infrastruktur mampan, kesihatan awam dan keselamatan serantau.

Berita Harian X