Isnin, 13 Disember 2021 | 6:44pm
Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengadakan lawatan ke Kem RASCOM, Sibu, hari ini. - IHSAN UKAS
Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengadakan lawatan ke Kem RASCOM, Sibu, hari ini. - IHSAN UKAS

Abang Johari hargai jasa ATM

SIBU: Sumbangan besar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutama anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) membantu kerajaan Sarawak menangani COVID-19 serta tugas hakiki menjaga keselamatan negeri, wajar dihargai semua pihak.

Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata anggota tentera sedia dikerah bila-bila masa untuk melaksanakan segala arahan untuk memastikan kelancaran usaha menangani wabak itu dan memastikan sempadan negara tidak dibolosi.

Sebagai pemimpin Sarawak, beliau mengucapkan penghargaan atas sumbangan anggota tentera setiap waktu dan dalam apa juga keadaan.

"Anggota tentera turun padang untuk terbabit sama dalam menyediakan hospital medan, program pemberian vaksin COVID-19 di kawasan luar bandar dan pedalaman serta terbabit dalam operasi sekatan jalan raya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya bersama anggota tentera di Kapit dan di Long Singut (ketika program vaksinasi) dan saya rasai perjalanan mencabar ke Long Singut yang ditempuh oleh anggota tentera kita untuk mengawal sempadan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program lawatan ke Kem RASCOM, Batu 10, Jalan Oya, di sini, hari ini.

Turut hadir pada program itu, Panglima 1 Divisyen Infantri Malaysia, Mej Jen Datuk Dzulkafli Mustaffa; Panglima 9 Briged Infantri, Brig Jen Shamshor Jaafar; dan Panglima 31 Briged Infantri, Brig Jen Abdul Jalal Zaidi.

Sebagai penghargaan terhadap sumbangan itu dan pengorbanan memastikan keselamatan Sarawak terjamin, katanya, kerajaan Sarawak konsisten mengambil berat soal kebajikan anggota tentera.

"Bukan mudah mengawal keselamatan Sarawak kerana faktor keluasan dan bentuk muka bumi yang mencabar, tetapi anggota tentera melaksanakan dengan cukup baik.

"Sebagai tanda penghargaan, saya mengumumkan sumbangan aset kawalan pertahanan kepada ATM di Sarawak daripada kerajaan negeri yang diserahkan di Kem Muara Tuang baru-baru ini.

"Penyerahan aset kawalan pertahanan ini diharapkan akan membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan memperkasakan kawalan sempadan Sarawak," katanya.

Berita Harian X