Isnin, 13 Disember 2021 | 5:14pm
 Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah
Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah

ANGKASA bentuk konsortium 3,000 outlet runcit tawar harga murah

KUALA LUMPUR: Konsortium hasil gabungan lebih 3,000 outlet runcit kelolaan gerakan koperasi negara bakal ditubuhkan bagi berperanan sebagai pengeluar barang keperluan asas pada harga lebih rendah.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata melalui pendekatan itu, ANGKASA akan bertindak sebagai penyelaras untuk membekalkan barang keperluan harian pada harga berpatutan dalam sistem rantaian pembekalan yang kini dimanipulasi orang tengah hingga menyebabkan harga barangan meningkat.

Selain koperasi, beliau berkata, pihaknya juga diminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk bekerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk memperluaskan lagi jaringan pembekalan produk pertanian bagi mencapai lebih ramai golongan sasar.

"Peranan gerakan koperasi diketuai ANGKASA menjayakan gabungan 3,000 outlet runcit ini dapat menawarkan harga barangan keperluan harian sekurang-kurangnya lima hingga 15 peratus lebih murah.

"Koperasi boleh menjadi pengeluar jika digabungkan semua outlet berkenaan menjadi konsortium. ANGKASA akan menerajui dari segi pengawasan sistem dan beri kemudahan kredit kepada mereka sebanyak RM10,000 sebulan.

"Jadi, outlet koperasi yang bertindak sebagai pengeluar ini akan ambil dulu barangan daripada pembekal dan ANGKASA akan bayar kepada pihak pembekal. Kita mahu jadikan ekosistem perniagaan ini menyeluruh dengan matlamat barang dijual kepada pengguna lebih kompetitif dan lebih murah," katanya di sini, hari ini.

Semalam, Ismail Sabri berkata, koperasi di seluruh negara boleh membantu menangani masalah kenaikan harga barang bagi mengurangkan tekanan dan beban kewangan rakyat yang terkesan susulan pandemik COVID-19.

Ismail Sabri berkata, antara yang boleh dilakukan ialah mewujudkan pemborong khas koperasi untuk membekalkan barangan secara pukal pada harga murah kepada seluruh koperasi dan manfaat kaedah itu akhirnya dapat dinikmati rakyat.

Selain barang makanan keperluan harian, Abdul Fattah berkata, turut dijual di outlet koperasi adalah perkakasan dan ubat-ubatan yang boleh didapati pada harga berpatutan.

Katanya, ia juga terkandung dalam senarai Program Barang Asas 100 (BA100) yang dijual pada harga lebih rendah berbanding dalam pasaran termasuk boleh didapati secara dalam talian.

"Dalam program bekalan BA100 iaitu projek bekalan barang asas merangkumi barang diperlukan orang ramai termasuk barang basah, kering dan juga ubat-ubatan.

"Kita dapati antara masalah utama kenaikan harga menjadi mahal adalah kerana peranan orang tengah. Selain itu, kaedah pengurusan kedai turut mengakibatkan kos pengurusan menjadi tinggi.

"Masalah itu boleh ditangani menerusi penggunaan platform digital. Kedai runcit yang dikelolakan gerakan koperasi aktif dalam jual beli secara dalam talian menerusi portal jimatbiz.com, yang boleh digunakan untuk memesan barangan terus daripada pembekal dan pengeluar disenaraikan gerakan koperasi ANGKASA.

"Pengguna yang membeli barangan menggunakan platform digital tanpa orang tengah ini akan mendapat barangan dengan harga lebih murah," katanya.

Berita Harian X