Isnin, 13 Disember 2021 | 4:25pm
 Presiden DPMM, Dr Abdul Halim Husin
Presiden DPMM, Dr Abdul Halim Husin

DPMM kaji punca kenaikan harga barangan asas

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur: Kajian dilakukan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bagi mengenal pasti punca berlaku amalan pencatutan harga dan budaya 'kartel' di pelbagai sektor ekonomi termasuk peruncitan serta perkhidmatan, diharap dapat membanteras masalah itu hingga ke akar umbi.

Presidennya, Dr Abdul Halim Husin, berkata kajian itu antara lain bertujuan mengkaji punca kenaikan mendadak harga barangan asas dan menganalisa kedudukan rantaian bekalan serta keselamatan makanan negara.

Beliau berkata, kegiatan menaikkan harga barangan secara tidak terkawal akhirnya akan mengheret negara dan rakyat kepada krisis politik seperti berlaku di kebanyakan negara Arab sehingga mencetuskan Arab Spring.

"Selagi kegiatan jenayah ini tidak dibanteras hingga ke akar umbi, selagi itulah masalah tidak akan selesai dan golongan B40 yang paling terkesan.

"Susulan itu, DPMM berharap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memerangi habis-habisan penyangak dan lanun yang cuba mengaut untung atas angin ketika negara dan rakyat berhempas-pulas keluar daripada kemelesetan ekonomi yang sedang melanda," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, DPMM menganjurkan Kempen Derma Darah, hari ini, bagi menyahut seruan Pusat Darah Negara (PDN) untuk mengumpul lebih 50,000 beg darah tahun ini.

Abdul Halim yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), berkata kempen derma darah dengan kerjasama PDN yang berlangsung di Anjung Melayu, di sini, dilaksanakan bagi membantu mengisi bekalan darah yang semakin berkurangan terutama di Lembah Klang.

"Pada masa sama, DPMM mahu mengajak masyarakat khususnya golongan peniaga memenuhi tanggungjawab sosial mereka membantu golongan memerlukan dan tidak hanya tertumpu kepada aktiviti perniagaan dan perdagangan masing-masing saja.

"Usaha kecil ini diharap dapat mencetus minat badan bukan kerajaan (NGO) Bumiputera yang lain bagi sama-sama membantu mengikut kapasiti masing-masing," katanya.

Abdul Halim berkata, sebagai pertubuhan ekonomi terbesar Melayu dan Bumiputera, DPMM sentiasa peka dengan isu kemasyarakatan terutama dalam membantu masyarakat mengharungi musibah seperti banjir atau kebakaran.

Dalam mendepani era pasca pandemik menuju endemik COVID-19 ini, katanya, DPMM menyediakan portal khas Pusat Mediasi COVID-19.

Beliau berkata, langkah itu dilaksanakan bagi bersama-sama kerajaan membantu orang awam dan peniaga menyelesaikan sebarang pertikaian yang mempunyai implikasi undang-undang.

Berita Harian X