Isnin, 13 Disember 2021 | 2:54pm
Datuk Seri Najib Razak hadir prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Datuk Seri Najib Razak hadir prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

Status MySejahtera Najib, Muhammad Shafee berubah 2 kali

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak membabitkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dilapangkan hari ini, berikutan perubahan dua kali pada status MySejahtera bekas Perdana Menteri itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan kepada esok selepas dimaklumkan status MySejahtera Najib diletakkan di bawah 'individu dalam pemantauan' (PUS).

Peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili Najib, berkata walaupun anak guamnya melakukan ujian rapid antigen kit (RTK) dan sudah mengemas kini MySejahtera seperti yang diarahkan oleh mahkamah, namun status profilnya masih belum berubah.

"Berdasarkan garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM), sekiranya mempunyai kontak rapat atau kasual, anda perlu menjalani kuarantin untuk tempoh 10 hari.

"Mereka perlu melakukan kuarantin kendiri sebagai tanggungjawab sosial. Itu adalah prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Terdahulu, sebaik saja tiba di pekarangan mahkamah, status MySejahtera Najib dan peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah masing-masing diletakkan sebagai 'PUS' dan 'kontak kasual'.

Selepas menekan semula profil masing-masing, status Najib dan Muhammad Shafee bertukar biru, menandakan sebagai 'risiko rendah' serta dibenarkan memasuki mahkamah.

Bagaimanapun, sebaik berada di dalam kamar mahkamah dan diminta mengemas kini profil mereka, status MySejahtera masing-masing berubah kepada 'PUS' dan 'kontak kasual',

Najib dan Muhammad Shafee kemudian diarah untuk meninggalkan mahkamah.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah, dua saksi yang akan memberi keterangan pada perbicaraan itu iaitu bekas Pengarah dan Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Pegawai Khas Najib, Datuk Wan Ahmad Shihab Ismail Wan Ismail, tidak dapat hadir ke mahkamah.

Katanya, bagaimanapun, saksi ke-12 dan ke-13 pendakwaan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman dan bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir, hadir untuk pihak pembelaan meneruskan dengan soal balas.

"Kami menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram supaya kes dijalankan secara hibrid.

"Pendengaran untuk permohonan Najib dan rayuan kes SRC di Mahkamah Rayuan dilakukan secara dalam talian," katanya.

Hariharan, bagaimanapun, membantah cadangan itu dan menegaskan bahawa pendakwaan mempunyai masa sebulan untuk menyediakan saksi baharu di mahkamah.

"Rakan terpelajar merujuk kepada keputusan kes SRC di mana tiada keperluan untuk saksi berada di mahkamah serta tidak perlu untuk melihat kepada reaksi dan gerak tubuh saksi.

"Pihak pendakwaan yang tidak membawa saksi namun mereka mahu kami (pembelaan) menyoal balas saksi lain… Ini adalah situasi yang menjejaskan dan tidak adil," katanya.

Sequerah kemudian berkata beliau akan membuat keputusan berhubung permohonan perbicaraan hibrid, esok.

Najib, 68, berhadapan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Berita Harian X