Isnin, 13 Disember 2021 | 2:41pm

Pemandu bas henti-henti 'lalok' ditahan

KULIM: Aksi 'gila' pemandu bas henti-henti yang memandu secara melulu mengundang padah apabila ditahan di hadapan Balai Polis Sugai Karangan, dekat sini semalam.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi itu, pemandu bas terbabit pada mulanya dikesan memandu tanpa arah dengan melanggar lampu isyarat merah di Simpang Tiga, Batu Lapan, Lunas dan seterusnya memandu laju melalui Pekan Padang Serai.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, perbuatan pemandu bas itu berjaya dirakam kamera yang dipasang dalam kenderaan orang awam yang mengekorinya.

Beliau berkata, pemandu bas berkenaan dilihat memandu ke tepi serta tengah dan sebaik tiba di Pekan Padang Serai, suspek turut melanggar cermin sisi sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan.

"Pemandu bas terbabit langsung tidak memberhentikan kenderaannya dan dia tetap meneruskan perjalanan dengan memandu secara melulu.

"Bagaimanapun, orang awam yang mengekorinya berjaya memberhentikan bas dipandu lelaki terbabit ketika berada di hadapan Balai Polis Sungai Karangan," katanya.

Beliau berkata, polis kemudian berjaya menahan suspek yang berusia 44 tahun itu dan hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif methamphetamine.

"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek yang memandu di bawah pengaruh syabu itu turut mempunyai 51 rekod saman kesalahan trafik dengan lima daripadanya berstatus waran tangkap.

"Suspek juga turut dikehendaki polis kerana tidak hadir ke mahkamah kerana satu kes pertuduhan dadah terhadapnya pada 2019 lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sazalee berkata, siasatan lanjut mendapati suspek berasal dari Taiping, Perak itu sudah bekerja di syarikat bas terbabit sejak lebih dua tahun lalu dan memiliki lesen memandu sah.

"Kita mendapati bas yang dipandu suspek adalah bas tambang henti-henti laluan Sungai Petani ke Baling dan ketika kejadian tiada penumpang dibawanya.

"Suspek kini direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kita masih menyiasat motif lelaki itu yang memandu bas secara berbahaya," katanya.

Berita Harian X