Isnin, 13 Disember 2021 | 2:35pm
Benih Padi IS21 dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 20 November 2021. Benih padi IS21 yang menggunakan teknologi nuklear rintang penyakit padi, tahan cuaca ekstrem dan mampu meningkatkan hasil tuaian para pesawah dan petani.
Benih Padi IS21 dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 20 November 2021. Benih padi IS21 yang menggunakan teknologi nuklear rintang penyakit padi, tahan cuaca ekstrem dan mampu meningkatkan hasil tuaian para pesawah dan petani.

Menginsankan dan merakyatkan STI

PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang telah mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) dirancang bagi Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari pertama, terus komited memacu serta memulihkan ekonomi negara dalam pasca pandemik COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata usaha berterusan itu, sekali gus mampu meningkatkan taraf hidup Keluarga Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, MOSTI terus memperkasakan sektor ekonomi Malaysia merangkumi pertanian, pembuatan, perkhidmatan dan mitigasi bencana agar lebih berasaskan teknologi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Beliau berkata, bagi mencapai hasrat berkenaan, MOSTI giat menjalankan kolaborasi rentas kementerian dengan agensi dalam usaha merangsang ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) supaya membantu memberi penyelesaian kepada rakyat.

Ia termasuklah dengan mengguna pakai teknologi tempatan dalam sektor ekonomi, pendidikan, kesihatan, sukan dan pertanian bagi memudahkan masyarakat dalam kegiatan seharian.

"Ini adalah di antara usaha MOSTI dalam menginsankan STI kepada Keluarga Malaysia dan akan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dalam memacu sosioekonomi negara ke arah kualiti hidup lebih cemerlang menggunakan kepakaran dan inovasi tempatan," katanya.

  • Ekosistem Syarikat Pemula

MOSTI turut komited memberi sokongan kepada lebih ramai bakat dan syarikat tempatan yang mampu mencipta teknologi daripada peringkat penyelidikan dan pembangunan kepada peringkat yang sedia untuk dikomersialkan.

"Pelan Hala Tuju Pembangunan Ekosistem Start Up 2021-2030 (SUPER) telah dilancarkan. Fokus MOSTI adalah menawarkan perkhidmatan sokongan yang komprehensif kepada usahawan tempatan. Apabila syarikat mereka berkembang, lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan untuk Keluarga Malaysia,"

"MOSTI turut mempergiatkan program-program pembiayaan, pelaburan dan pinjaman kepada syarikat pemula tempatan menerusi agensi-agensi pembiayaan di bawah MOSTI," katanya.

  • Sekuriti kesihatan negara

Tambahnya, Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara dibangunkan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara pencipta dan pengeluar vaksin tempatan selaras dengan pemerkasaan sekuriti kesihatan dan meningkatkan kesiapsiagaan negara untuk melindungi Keluarga Malaysia dalam mendepani pandemik di masa hadapan.

"Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) akan memainkan peranan yang lebih besar dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin serta turut membabitkan kerjasama dengan rakan strategik tempatan dan antarabangsa.

"MGVI turut menerajui pengesanan genomic surveillance, pemindahan teknologi serta perkongsian data yang semakin kritikal dalam membantu pelaksanaan usaha pengawalan wabak penyakit seperti COVID-19," katanya.

  • Pembudayaan STI

Dalam membudayakan STI pihak kementerian turut menekankan aktiviti berkaitan yang berbentuk pembelajaran berasaskan pengalaman sebagai usaha memupuk masyarakat dalam pelbagai peringkat menggunakan aplikasi STI.

"Ini termasuklah program Malaysia Techlympics dibangunkan untuk memupuk minat terhadap mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam kalangan pelajar dan belia yang seterusnya mampu mengembangkan idea dalam mencari penyelesaian dalam kehidupan.

"Seterusnya, bagi inisiatif MyHackathon di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara, ia dilaksanakan bertujuan untuk menyokong transformasi pendigitalan kerajaan rentas kementerian dan agensi, sekali gus meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kepada komuniti perniagaan dan rakyat."

  • Inovasi sosial

Mengulas mengenai program lain yang dilaksanakan oleh kementeriannya, MOSTI berkata, ia termasuklah program Inovasi Sosial yang diadakan sebagai platform untuk mencari, membangun dan memadankan dana pembangunan inovasi dengan rangkaian inovator sosial di seluruh negara.

"Ia bertujuan untuk mempromosi dan memupuk inovasi sosial akar umbi yang berpotensi untuk membantu golongan B40 dan terpinggir.

"Antara inisiatif inovasi melalui pemindahan ilmu serta pemerkasaan teknologi yang sudah dilaksanakan adalah projek penambahbaikan kepada sistem penapisan air yang telah berjaya memberi manfaat sumber air bersih kepada penduduk di Kampung Sapatalang, Pitas, Sabah yang meningkatkan kualiti kehidupan dan produktiviti mereka.

"Selain itu, inisiatif Ruang Reka iaitu platform pembangunan social innopreneurship, menyediakan sudut inovasi digital serta makmal komputer dan reka bentuk untuk membudayakan kreativiti dan inovasi serta memupuk minat generasi muda di peringkat akar umbi," katanya.

Image

Berita Harian X