Isnin, 13 Disember 2021 | 11:30am
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) DUN Stakan, Datuk Hamzah Brahim menyantuni anggota tentera yang menjamu selera di Medan Pahlawan Kafe berhadapan Kem Muara Tuang, baru-baru ini. - Foto FB HAMZAH BRAHIM
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) DUN Stakan, Datuk Hamzah Brahim menyantuni anggota tentera yang menjamu selera di Medan Pahlawan Kafe berhadapan Kem Muara Tuang, baru-baru ini. - Foto FB HAMZAH BRAHIM

Hamzah ikrar khidmat terbaik kepada warga tentera DUN Stakan

KOTA SAMARAHAN: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berikrar memberi tumpuan kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Muara Tuang dan Kem Penrissen, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Member jaminan tumpuan itu tidak terhad kepada aspek kebajikan, malah infrastruktur dan keselesaan mengikut kapasiti dan kemampuannya, beliau berkata, perhatian khusus untuk anggota tentera adalah tanda sanjungan dan penghormatan kerana melalui peranan mereka, rakyat mampu terus hidup dengan aman dalam negara berdaulat.

"Dengan rendah diri, saya merayu kepada seluruh warga tentera di Kem Penrissen dan Kem Muara Tuang untuk turun mengundi awal esok. Insya-Allah, jika diberi peluang dan ruang, saya akan buat yang terbaik demi keselesaan dan kesejahteraan wira negara kita yang telah banyak menabur jasa dan bakti demi negara.

"Mereka sanggup mempertahankan tanah air dengan air mata dan keringat demi keselamatan dan kedaulatan negara yang dijulang," katanya kepada BH, hari ini.

DUN Stakan menempatkan Kem Muara Tuang dan Kem Penrissen, kem tentera terbesar di negeri ini. Ia mempunyai 4,850 pengundi awal yang akan menunaikan tanggungjawab mereka esok.

Pada PRN-12, DUN Stakan yang mempunyai 16,992 pemilih berdaftar menyaksikan persaingan empat penjuru di antara Hamzah; calon DAP, Leslie Ting; calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), George Young dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Atet Dego.

Pada PRN 2016, DUN Stakan dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud dengan majoriti 7,042 undi.

Hamzah berkata, beliau juga mahu keharmonian dan jalinan hubungan antara anggota tentera dan warga Stakan terus berkekalan tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan kaum.

"Ini kerana, Stakan untuk semua, semua untuk Stakan. Sama-sama kita berganding bahu memajukan lagi Stakan yang kita sayangi," katanya.

Berita Harian X