Ahad, 12 Disember 2021 | 8:38pm
Penduduk kaum Iban mendengar penerangan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg di Rumah Panjang Kampung Keniong Lama, Simunjan. - Gambar NSTP/AIZUDDIN SAAD
Penduduk kaum Iban mendengar penerangan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg di Rumah Panjang Kampung Keniong Lama, Simunjan. - Gambar NSTP/AIZUDDIN SAAD

MA63: Bacaan kedua pinda Perlembagaan Selasa ini

KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berharap rakyat di Sabah dan Sarawak akan menyokong Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, bacaan kali kedua rang undang-undang itu di Dewan Rakyat dijadualkan pada Selasa ini, selepas bacaan kali pertama pada 3 November.

"Kelulusan rang undang-undang itu akan membuka laluan kepada lebih banyak hak yang selama ini terhakis dikembalikan kepada rakyat di Sabah dan Sarawak. Ini antara keutamaan saya buat masa ini," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat antaranya untuk memasukkan negeri-negeri Tanah Melayu dan negeri-negeri Borneo. Ia dibentangkan oleh Wan Junaidi.

Menurut rang undang-undang itu, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada:

(a) Negeri-Negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu; dan

(b) Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Wan Junaidi berkata, sejak dua hari lalu, beliau sibuk bertemu dengan pengundi tempatan dan orang ramai di Sarawak untuk berkongsi kemajuan inisiatif transformasi utama kerajaan yang dipelopori oleh kementeriannya, dengan yang pertama ditampilkan ialah rang undang-undang itu.

Beliau berkata, tiga lagi inisiatif utama transformasi kerajaan yang dilakukan pihaknya ialah Transformasi dalam Pentadbiran Kerajaan, Pembaharuan Parlimen dan Kebebasan Institusi Kehakiman.

Transformasi dalam Pentadbiran Kerajaan termasuk undang-undang antilompat parti, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun, pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Pembaharuan Parlimen terdiri daripada Pengenalan Semula Akta Perkhidmatan Parlimen, pindaan terhadap Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dan memperkenal Kod Tata Kelakuan Ahli Parlimen.

"Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dilaksanakan pada 1 Jan 2022.

"Rang Undang-Undang mengenai Pembaharuan Parlimen dijadual dibentang kepada Speaker pada pertengahan bulan Januari tahun depan dan dibentangkan di Parlimen pada Mac.

"Rang undang-undang mengenai undang-undang antilompat parti pula dijangka dibentang pada Julai tahun depan," katanya.

Sebagai sebahagian daripada program libat urus anjuran Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong, mengadakan lawatan ke lima daerah di Sarawak iaitu Linga, Sri Aman, Spaoh, Lundu dan Sematan untuk bertemu rakyat. – BERNAMA

Berita Harian X