Ahad, 12 Disember 2021 | 6:39pm
Mohd Izhar (tengah) menyampaikan replika cek pencen penakat kepada Mat Nanyan di Johor Bharu, hari ini. - Foto NSTP/OMAR AHMAD
Mohd Izhar (tengah) menyampaikan replika cek pencen penakat kepada Mat Nanyan di Johor Bharu, hari ini. - Foto NSTP/OMAR AHMAD

Ibu bapa Rozzana ke Korea Selatan

JOHOR BAHRU: Ibu bapa Rozanna Mat Nanyan, rakyat Malaysia yang meninggal dunia di Korea Selatan pada 24 November lalu, akan mengunjungi kubur anaknya di negara berkenaan.

Bapanya, Mat Nanyan Ahmad, 70, berkata mereka merancang untuk ke Korea Selatan enam bulan dari sekarang

Katanya, ketika ini hanya kakak tiri Rozzana, iaitu Nur Diana Abdul Rahim Lee, 46, yang berada di negara berkenaan.

"Nur Diana dijangka akan pulang ke Malaysia pada 21 Disember ini. Dia perlu menjalani kuarantin terlebih dahulu sebelum boleh pulang ke rumah.

"Selepas itu, kami akan kumpulkan duit untuk membeli tiket penerbangan ke sana. Mungkin hanya dua orang sahaja, sama ada saya atau isteri bersama Nur Diana," katanya ketika ditemui pada Program Sambutan Jubli Emas PERKESO Peringkat Negeri Johor 2021, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd Izhar Ahmad dan Pengarah PERKESO Johor, Tong Sing Chuang.

Allahyarham Rozana menerima pencen penakat berjumlah RM384.20 sebulan hasil caruman dibuat Allahyarham ketika dia masih bekerja di dalam negara.

Mat Nanyan berkata, walaupun pencen yang diterima daripada PERKESO bukan jumlah yang besar, tetapi dia tetap bersyukur kerana dapat membantu meringankan beban keluarga.

Pada 10 Oktober lalu, Harian Metro melaporkan kebimbangan Nur Diana mengenai keadaan Rozzana selepas adiknya dimasukkan ke Hospital Myongji, akibat serangan asma.

Rozzana yang bekerja di kilang pembuatan buku dan kalendar di Incheon ditidurkan sejak 2 Oktober, iaitu hari pertama dimasukkan ke hospital, bagi mengelak diserang sawan.

Nur Diana berlepas ke negara berkenaan pada 21 Oktober lalu untuk mengurus Rozzana.

Berita Harian X