Ahad, 12 Disember 2021 | 4:41pm
-Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berucap pada Perhimpunan Agung MIC Ke-75 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. - Foto BERNAMA
-Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berucap pada Perhimpunan Agung MIC Ke-75 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. - Foto BERNAMA

'Tiada masalah beri kerusi, asal bukan kerusi tradisi MIC'

KUALA LUMPUR: MIC menegaskan tiada masalah bagi parti itu, sekiranya Barisan Nasional (BN) ingin memperuntukkan kerusi kepada rakan sekutu atau parti mesra komponen BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), asalkan ia bukan kerusi tradisi yang ditandingi MIC.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, berkata parti itu bersetuju dengan cadangan untuk memberi peluang kepada parti-parti 'Friends of BN' untuk bertanding dalam PRU-15 kelak, namun ia harus berdasarkan pertimbangan yang munasabah.

"Yang Berhormat Datuk Seri (Ahmad Zahid Hamidi) telah mengumumkan bahawa salah satu parti dalam Friends of BN akan diberi kerusi untuk bertanding di bawah tiket BN pada pilihan raya umum yang akan datang.

".., dan perkara ini akan dibawa ke Majlis Tertinggi BN untuk diputuskan," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung MIC ke-75 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Sementara itu, Vigneswaran juga meminta pucuk kepemimpinan BN supaya memperuntukkan kerusi yang adil dan berpatutan kepada parti berusia 75 tahun itu dalam PRU-15, nanti.

Beliau berkata amat penting bagi MIC untuk mendapat kerusi-kerusi tradisi atau baharu berasaskan kepada landskap dan perubahan politik di peringkat akar umbi.

"Maksud saya ialah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ataupun Parlimen yang MIC mempunyai peluang untuk memenangi kerusi berkenaan," katanya.

Vigneswaran yang juga Duta Khas Malaysia ke Asia Selatan menggesa supaya pembahagian kerusi untuk parti gabungan BN dilakukan secepat mungkin supaya kepimpinan parti itu dapat melantik penyelaras bagi memastikan kemenangan BN pada PRU-15.

Katanya, MIC kini mempunyai pasukan yang berkebolehan dan berdedikasi selepas pemilihan barisan kepemimpinan parti itu baru-baru ini dan berbekalkan pengalaman selama 75 tahun, parti itu diyakini dapat menyumbang kembali undi masyarakat India kepada BN pada PRU-15.

Menyentuh mengenai tarikh PRU-15, bekas Speaker Dewan Negara itu menggesa pucuk kepemimpinan BN untuk memberikan ruang yang secukupnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dalam menentukan masa yang paling sesuai bagi mengadakan PRU-15. – BERNAMA

Berita Harian X