Ahad, 12 Disember 2021 | 2:31pm
Sulaiman Hashim mengambil air hujan yang disimpan di dalam tong untuk keperluan harian termasuk memasak di Kampung Bungan Besar dalam kawasan DUN Bawang Assan. - Foto NSTP/Mohd Roji Kawi
Sulaiman Hashim mengambil air hujan yang disimpan di dalam tong untuk keperluan harian termasuk memasak di Kampung Bungan Besar dalam kawasan DUN Bawang Assan. - Foto NSTP/Mohd Roji Kawi

Penduduk tebing Sungai Batang Igan dambakan kemudahan asas

SIBU: Jarak Kampung Bungan dengan bandar Sibu dan pekan Dalat tidaklah terlalu jauh, namun sehingga kini perkampungan masyarakat Melanau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan itu belum memiliki kemudahan asas yang lengkap.

Bekalan air bersih dan jalan raya - dua kemudahan amat didambakan penduduk di kampung terbabit selain menjadi keperluan penghuni beberapa rumah panjang masyarakat Iban berhampiran.

Tiga tahun lalu harapan penduduk untuk mendapatkan bekalan elektrik menjadi kenyataan dan kini mereka terus berharap kemudahan bekalan air dan jalan raya pula menyusul.

"Jalan raya paling kami nantikan bagi memudahkan kami untuk berurusan di bandar Sibu. Ketika ini kami bergantung kepada pengangkutan sungai untuk ke bandar.

"Selain itu, penduduk yang memiliki kereta pula terpaksa 'menumpang' jalan ladang kelapa sawit untuk bergerak keluar dari kampung," kata Ketua kampung Bungan Besar, Sulaiman Hashim.

Sulaiman berkata, ketika musim tengkujuh, kesukaran dihadapi penduduk yang menggunakan kereta kecil untuk meredah jalan ladang kelapa sawit yang becak.

"Bagi memudahkan kami bergerak ke bandar, kami tiada pilihan lain kecuali kembali kepada rutin asal dengan menggunakan pengangkutan sungai," katanya.

Mengenai bekalan air pula, Sulaiman berkata, penduduk kini bergantung kepada air hujan untuk keperluan makan dan minum manakala untuk mandi serta membersihkan pakaian, air Sungai Igan terus menjadi pilihan.

"Masalah kami hadapi untuk mendapatkan air minum dan kegunaan masak apabila tiba musim kemarau. Sudah lama kami mengutarakan masalah itu, namun tidak pasti bila ianya akan berakhir," katanya.

Untuk rekod, penempatan penduduk di tebing Sungai Batang Igan itu diwakili Datuk Seri Wong Soon Koh selama enam penggal sejak 1991.

Beliau mewakili Barisan Nasional (BN) sejak mula memenangi kawasan itu dan berjawatan menteri dalam Kabinet Sarawak sehingga beliau membawa parti pimpinannya, Parti Sarawak Bersatu (PSB) menjadi parti pembangkang tempatan Sarawak pada Julai 2019.

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12), 18 Disember ini, Soon Koh menghadapi saingan lima penjuru di DUN Bawang Assan berdepan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Robert Lau Hui Yew; calon DAP, Amy Lau Bik Yin; calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Michelle Ling Shyan Mih dan calon Bebas, Ricky Entrie.

Berita Harian X