Ahad, 12 Disember 2021 | 1:47pm
Ismail Sabri beramah mesra dengan penduduk yang hadir pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Koperasi Pekebun Kecil Daerah Bera di Kampung Batu Papan, hari ini. - FOTO BERNAMA
Ismail Sabri beramah mesra dengan penduduk yang hadir pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Koperasi Pekebun Kecil Daerah Bera di Kampung Batu Papan, hari ini. - FOTO BERNAMA

Koperasi boleh bantu tangani kenaikan harga barang - PM

BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, koperasi di seluruh negara boleh membantu menangani masalah kenaikan harga barang bagi mengurangkan tekanan dan beban kewangan rakyat yang terkesan susulan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri berkata, antara yang boleh dilakukan ialah mewujudkan pemborong khas koperasi untuk membekalkan barangan secara pukal pada harga murah kepada seluruh koperasi, dan manfaat kaedah itu akhirnya dapat turut dinikmati rakyat.

"Koperasi boleh memainkan peranan mengurangkan tekanan dialami rakyat. Koperasi ada banyak, namun kebanyakannya membeli barang dari kedai pemborong dalam kuantiti kecil seperti beras atau gula sekitar 100 atau 200 kampit saja sebulan.

"Kalau boleh diwujudkan pemborong khas koperasi, mereka (koperasi) boleh membeli secara pukal dan murah.

"Kalau dijual murah, sudah tentu lebih ramai akan memilih membeli dari koperasi dan ini juga membantu pendapatan koperasi," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pekebun Kecil Daerah Bera di Kampung Batu Papan, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, cadangan mewujudkan pemborong khas koperasi itu akan dibincangkan secara lebih terperinci dengan pihak berkaitan, termasuk Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, setakat ini, difahamkan terdapat 1,500 koperasi di seluruh negara yang dapat memudahkan rakyat mendapatkan barang keperluan asas pada harga murah, dan ia antara 'sumbangan' koperasi untuk bersama-sama kerajaan menangani isu kenaikan harga barang.

Katanya, kerajaan sudah dan sedang melaksanakan pelbagai usaha, termasuk Program Jualan Keluarga Malaysia di kesemua 222 kawasan Parlimen bagi menyediakan barang keperluan asas pada harga murah.

Selain itu, memberi subsidi kepada pekebun dan penternak bagi memastikan harga barangan segar dapat dikawal walaupun berlaku kenaikan harga baja, racun dan makanan haiwan ternakan, termasuk ayam.

Bagi menstabilkan harga ayam yang meningkat secara mendadak pula, Ismail Sabri berkata, kerajaan mengambil langkah mengimport ayam dari China dan Thailand,

Namun, Perdana Menteri kesal apabila ada pihak yang membuat 'cerita tidak betul tanpa usul periksa' mengenai status halal ayam terbabit.

Beliau menegaskan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam pemberian status halal, dan ayam diimport itu sudah mendapat kelulusan badan agama berkenaan, justeru ia tidak perlu diragui.

"Sebelum kelulusan halal diberikan, JAKIM akan pergi ke tempat itu untuk membuat pemeriksaan terlebih dahulu. Selepas dipastikan halal, barulah cap (logo) halal dikeluarkan. Halal ini bukan hanya dari sudut sembelihan tetapi juga banyak aspek lain dinilai, termasuk kebersihan.

"Untuk proses halal, ia turut membabitkan aspek pengangkutan, iaitu tidak boleh bercampur dengan barang tidak halal. Sampai ke tahap itu kita memastikan halalnya, kerana ini bukan isu yang boleh dibuat main," katanya.

Berkongsi pengalaman beliau sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum ini, Ismail Sabri berkata, beliau pernah mencadangkan supaya daging diimport dari sebuah negara Islam bagi membantu negara yang dikategorikan sebagai miskin itu.

Namun, katanya, cadangan itu akhirnya dibatalkan selepas semakan JAKIM mendapati aspek kebersihan tidak dipatuhi walaupun sembelihan ternakan menepati rukun dan syarat dalam Islam.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai agar tidak bimbang dengan status halal ayam yang diimport kerana produk berkenaan sudah disemak dan diteliti, termasuk oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang mengesahkan semua loji memproses ayam terbabit masih sah serta diiktiraf JAKIM. – BERNAMA

Berita Harian X