Ahad, 12 Disember 2021 | 12:39pm
FOTO NSTP/AIZUDDIN SAAD
FOTO NSTP/AIZUDDIN SAAD

Kempen dijangka semakin agresif

KUCHING: Kempen pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak dijangka semakin agresif, terutama selepas parti yang bertanding membentangkan manifesto masing-masing.

Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata kebenaran untuk berkempen secara bersemuka di 64 daripada keseluruhan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, akan turut memberi kesan kepada kempen parti terbabit.

Setakat ini, beliau berkata, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat mempunyai gerak kerja kempen lebih teratur, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, berbanding parti lawan yang lebih fokus di bandar.

"Namun, pembangkang terutama DAP, PKR dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dijangka meningkatkan aktiviti kempen mereka secara agresif pada minggu kedua kempen, terutama dalam usaha menemui pengundi.

"Walaupun kempen secara dalam talian digunakan semua parti, kempen bersemuka terutama di kawasan tumpuan seperti kedai kopi dan pasar awam, dilihat lebih berkesan dalam memperkenalkan calon," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

PRN-12 Sarawak menyaksikan kesemua 82 kerusi DUN dipertandingkan membabitkan 349 calon daripada 10 parti politik serta calon Bebas.

Mengulas lanjut, Awang Azman bagaimanapun menyifatkan tindakan sesetengah parti bertanding menjanjikan perkara sukar ditunaikan dalam manifesto mereka, sebagai sesuatu yang membimbangkan.

"Ada parti tertentu mengumumkan mampu melakukan perkara sukar ataupun berjanji 'bulan dan bintang' bagi menarik pengundi, sedangkan mereka sedar ia berkemungkinan mustahil untuk ditunaikan.

"Namun, 34 perkara dalam manifesto GPS dilihat lebih realistik dan menjurus kepada kesinambungan pentadbiran serta pembangunan yang sudah atau sedang dilaksanakan kerajaan negeri," katanya.

Begitupun, Awang Azman berkata, GPS tidak boleh terlalu selesa dan yakin kerana kebimbangan masih ada akan kemungkinan pengundi tidak keluar mengundi pada 18 Disember ini.

"Mungkin ada penyokong GPS berasa parti itu akan menang besar, maka mereka tidak keluar mengundi sehingga menjejaskan jumlah peratusan mengundi dan menyebabkan kerusi dianggap selamat berada dalam keadaan berbahaya.

"Oleh itu, tumpuan perlu diberikan kepada kerusi yang masih dianggap 50-50 kerana setiap calon akan berusaha menemui seramai mungkin pengundi bagi menerangkan perubahan yang mampu dibawa mereka," katanya.

Berita Harian X