Sabtu, 11 Disember 2021 | 1:35pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Kelemahan sistem sokongan punca budaya buli masih berleluasa

KUALA LUMPUR: Sistem sokongan sosial yang lemah di sekolah, institusi atau persekitaran itu menjadi punca kejadian buli masih berleluasa, terutamanya dalam kalangan penghuni asrama.

Kaunselor Berdaftar, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani, berkata kegagalan pentadbir mewujudkan kesedaran kempen bebas buli dan tiada sistem aduan serta tindakan tegas diambil, membuatkan pemangsa (pembuli) berani melakukannya.

Katanya, ia juga menyebabkan mangsa takut untuk tampil membuat aduan kerana tahu ia akan berakhir dengan sesi bermaaf-maafan (tanpa siasatan rapi) selain tidak tahu saluran betul membuat aduan seterusnya diancam akhirnya dianggap terlalu manja atau tidak boleh bergurau, sebaliknya pembuli akan menjadi seperti mangsa keadaan.

"Tahap kesedaran masyarakat mengenai buli masih rendah. Kesedaran daripada aspek pemahaman definisi buli, jenis perbuatan berkaitan, proses aduan masih lemah dalam masyarakat kita terutama pelajar sekolah.

"Stigma mengenai definisi buli bertentangan dengan kemelut kontak sosial dan nilai budaya. Apabila tidak faham dan tiada inisiatif mencari kefahaman, maka masyarakat secara keseluruhan hanya memberi fokus kepada buli fizikal. Itu pun sekiranya mempunyai kesan kecederaan fizikal yang teruk," katanya kepada BH.

Beliau mengulas beberapa kejadian buli yang berlaku membabitkan pelajar termasuk terkini sebuah video memaparkan seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar menjadi mangsa buli sekumpulan pelajar hingga mencetuskan kemarahan masyarakat.

Setakat ini, enam pelajar yang terbabit dalam kejadian itu sudah ditahan polis untuk membantu siasatan kes terbabit.

Siti Fatimah berkata, semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam memastikan isu buli tidak berlaku atau dijadikan seperti 'adat resam' terutama mereka yang masuk ke asrama penuh.

"Satu daripada faktor mendorong wujudnya buli dalam kalangan pelajar asrama adalah kegagalan warden memainkan peranan sebenar dalam mengatasi isu buli.

"Tidak memukul rata semua warden, namun apabila tanggungjawab yang diberi dipandang remeh dan tidak serius, warden tidak benar-benar menyiasat kejadian buli. Ada juga kes di mana warden sendiri berpihak kepada mereka yang bersifat lebih dominan tanpa memberikan peluang kepada mangsa menjelaskan apa yang berlaku.

"Akhirnya mangsa yang terus menjadi mangsa keadaan dan besar kemungkinan wujud situasi buli sosial. Ada juga kes di mana, kejadian buli tidak dilaporkan kerana mangsa merasa tidak yakin dengan sistem sokongan atau kebajikan yang ada.

"Ini disebabkan ada sesetengah pentadbir atau mereka yang sepatutnya menjaga kebajikan, sering kali gagal menjalankan amanah sebaik mungkin. Tiada ketelusan atau tidak menunjukkan ciri-ciri yang boleh diharap," katanya.

Siti Fatimah menambah, pihak sekolah tidak boleh alpa mengenai keperluan dan kewajipan membuat aduan.

Katanya, sering kali ada kejadian buli berlaku tetapi sekolah seolah-olah menyembunyikan kes.

"Di sini, ibu bapa perlu mengambil tindakan sewajarnya dengan terus melaporkan pihak polis tanpa kompromi. Anak-anak perlu dilatih berani berkongsi kisah yang berlaku ke atas dirinya kepada ibu bapa.

"Ibu bapa pula wajib mendengar dan memahami situasi tersebut tanpa terus membuat kesimpulan yang tidak munasabah seperti 'sabarlah, biasalah, jangan ambil peduli sangat atau biarkanlah mereka itu," katanya yang melihat mangsa buli memerlukan sokongan, bukannya diarah untuk memendam perasaan.

Mengulas lanjut mengenai peranan sekolah, Siti Fatimah berkata, institusi pendidikan itu tidak perlu takut dan malu jika kes buli benar-benar berlaku di sekolah mereka.

Sebaliknya, tindakan tegas pihak sekolah akan menaikkan martabat sekolah itu sendiri.

"Pendekatan yang perlu difahami adalah sekolah melahirkan generasi berilmu, bukan pembuli dan bakal menjadi sampah masyarakat.

"Menjadi kewajipan kepada pihak sekolah atau mana-mana institusi pendidikan menyebarkan maklumat mengenai kesalahan buli adalah satu jenayah seperti mana yang termaktub dalam undang-undang negara.

"Antaranya kes yang disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya atau kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan kepada mangsa," katanya.

Berita Harian X