Sabtu, 11 Disember 2021 | 12:55pm
Tan Sri Lee Lam Thye
Tan Sri Lee Lam Thye

'Jaga nyawa lebih penting daripada jaga nama baik sekolah'

KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan sekolah diminta tidak menutup atau menyembunyikan kes buli, sebaliknya melaporkan kepada pihak berkuasa polis untuk tindakan lanjut.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata antara langkah yang perlu diambil adalah meningkatkan penguatkuasaan disiplin di semua sekolah harian dan berasrama penuh.

Katanya, sekolah tidak boleh menutup salah laku pembuli hanya semata-mata ingin menjaga nama baik.

"Menjaga nyawa adalah lebih penting daripada nama baik. Nama baik sekolah boleh dibersihkan jika tercemar tetapi nyawa pelajar yang hilang tidak akan dapat diganti.

"Walaupun buli di sekolah pada keseluruhannya tidak sampai ke tahap meragut nyawa, ia tetap menjejaskan kesihatan mental dan keyakinan diri. Mangsa buli akan tetap mengalami kesan trauma," katanya.

Media semalam melaporkan seorang pelajar lelaki sebuah sekolah berasrama di Perak menjadi mangsa buli sekumpulan pelajar lelaki sehingga tular di media sosial.

Menerusi beberapa klip video yang tular itu, dapat dilihat pelajar terbabit mengepung dan menumbuk perut pelajar lelaki itu sambil tertawa sesama mereka.

Dalam perkembangan baharu, polis menahan empat pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, berkaitan kes buli secara kekerasan seperti rakaman video tular itu.

Lam Thye berkata, sudah tiba masanya budaya buli dihapuskan dalam pemikiran generasi muda terutama pelajar sekolah.

"Ambil tindakan segera dan pembuli perlu dihantar ke program kaunseling.

"Program sebegini dapat melahirkan kesedaran terhadap pembuli untuk lebih memahami bagaimana perasaan menjadi orang yang lemah dan berisiko dibuli.

"Ini dapat menyedarkan mereka mengenai perasaan dan ketakutan dibuli," katanya.

Berita Harian X