Sabtu, 11 Disember 2021 | 10:32am

17,885 kertas undi pos PRN Sarawak dikeluarkan hari ini

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan 17,885 kertas undi pos kepada individu yang berhak melaksanakan tanggungjawab mereka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata pengeluaran kertas undi pos hari ini dijalankan petugas pilihan raya di semua 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seperti diperuntukkan mengikut Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

Katanya, semua kertas undi pos berkenaan merangkumi 16,728 kategori Borang 1A untuk diagihkan kepada petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera, dan petugas media.

"Sebanyak 365 undi pos lagi untuk kategori Borang 1B yang terdiri daripada warganegara Malaysia di luar negara, 679 kategori Borang 1C bagi sembilan Agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan serta 113 Pengundi Tidak Hadir (PTH) luar negara.

"Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata, SPR ingin mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang pengisytiharan identiti (Borang 2).

Katanya, borang itu perlu segera dikembalikan kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum jam 5 petang pada hari mengundi iaitu 18 Disember depan.

"Pengundi juga diingatkan untuk sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menyebarkannya di laman media sosial," katanya.

SPR sebelum ini menetapkan PRN Sarawak Ke-12 diadakan pada 18 Disember depan dengan pengundian awal pada 14 Disember ini.

Pada hari penamaan 6 Disember lalu, seramai 349 calon layak bertanding pada pilihan raya negeri kali ini.

Berita Harian X