Jumaat, 10 Disember 2021 | 12:32pm

Singapura kesan dua lagi kes positif Omicron

SINGAPURA: Singapura mengesan dua lagi kes positif COVID-19 varian Omicron pada ujian awal, dengan satu kes tempatan membabitkan pekerja barisan hadapan di lapangan terbang dan satu kes import.

"Kedua-dua kes sudah lengkap divaksin dan menerima suntikan penggalak. Satu bergejala, manakala satu lagi mempunyai simptom tidak ketara," kata Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang semalam.

MOH berkata, kedua-dua kes itu semakin pulih dan ditempatkan dalam wad pengasingan di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID).

MOH kini menjalankan pengesanan kontak yang agresif untuk mengekang kes-kes itu.

Kes pertama ialah seorang wanita Singapura berusia 24 tahun yang juga kakitangan perkhidmatan penumpang di Terminal 1 dan 3 Lapangan Terbang Changi, dan pernah bekerja di bahagian penumpang transit. Beliau mungkin berinteraksi dengan penumpang transit dari negara terjejas Omicron, menurut kenyataan itu.

Dilabel sebagai Kes 276363, MOH berkata, mangsa tidak bekerja di Terminal 4 iaitu tempat tiga kes jangkitan Omicron sebelum ini berlaku.

Petugas itu menjalani ujian COVID-19 pada 8 Disember sebagai sebahagian daripada Ujian Rutin Terdaftar (RRT) mingguan untuk pekerja barisan hadapan sempadan, dan keputusan ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) menunjukkan S-gene Target Failure, yang mungkin dikaitkan dengan varian Omicron, katanya.

Kes kedua yang dilabelkan sebagai Kes 276223, ialah seorang wanita pemastautin tetap Singapura berusia 46 tahun yang pulang ke Singapura melalui Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) dari Jerman dengan menaiki Singapore Airlines SQ325 pada 6 Disember.

"Ujian pra-berlepasnya di Perancis pada 4 Disember adalah negatif COVID-19. Sebaik tiba di Singapura, ujian PCRnya pada 6 Disember kembali negatif.

"Pada 7 Disember, dia mengalami hidung berair dan mendapatkan rawatan perubatan pada 8 Disember. Wanita itu disahkan positif jangkitan COVID-19 pada hari yang sama, dan disahkan menunjukkan S-gene Target Failure pada 9 Dis, katanya.

Singapura pada Isnin lalu, mengesahkan varian Omicron yang dikesan dalam dua kes pertama COVID-19 import, yang pada mulanya disyaki sebagai pembawa varian itu.

Keputusan ujian pengesahan untuk satu lagi kes import yang dilabel sebagai Kes 273611 belum selesai, katanya.

"Memandangkan kebolehjangkitannya yang tinggi dan tersebar ke banyak bahagian dunia, kita seharusnya bersedia melihat lebih banyak kes Omicron di sempadan dan juga dalam komuniti kita," kata MOH. – BERNAMA

Berita Harian X