Khamis, 9 Disember 2021 | 7:07pm
Hajiji Noor pada persidangan DUN Sabah. - Foto Jabatan Penerangan Sabah
Hajiji Noor pada persidangan DUN Sabah. - Foto Jabatan Penerangan Sabah

DUN Sabah lulus belanjawan RM4.21 bilion

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Belanjawan Negeri 2022 berjumlah RM4.21 bilion selepas dibahas selama empat hari sejak Isnin lalu.

Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kewangan negeri, Datuk Hajiji Noor ketika menggulung perbahasan belanjawan berkata pihaknya akan memberikan peruntukan tambahan untuk setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebanyak RM2 juta.

Selain itu, satu jawatankuasa khas yang diketuai Menteri Kewangan II negeri telah ditubuhkan bagi meneruskan rundingan dengan kerajaan Persekutuan berkaitan Pemberian Khas Negeri Sabah sepertimana hak negeri yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan negeri dan PETRONAS telah menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) pada hari 7 Disember lalu. Melalui CCA, Sabah akan mendapatkan perkongsian hasil berkaitan minyak dan gas yang lebih besar, penyertaan dan penguasaan yang lebih besar dalam hal-hal minyak dan gas di bawah satu rangka kerja perundingan komersial bersama PETRONAS.

"Kerajaan negeri ditawarkan untuk menyertai Projek LNG melalui kepentingan saham hingga 25 peratus pada kos dan tanpa premium dalam anak-anak syarikat PETRONAS.

Selain itu, DUN Sabah turut meluluskan usul melantik Ketua Penerangan Wanita UMNO Sabah, Noraini Idris sebagai ahli Dewan Negara yang baharu bermula esok. Pelantikan Noraini bagi menggantikan Datuk Donald Peter Mojuntin yang akan tamat tempoh perkhidmatan sebagai Senator, hari ini.

Berita Harian X