KOTA KINABALU: Sebanyak 97 peratus penjawat awam negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri telah menerima vaksin setakat 23 November lepas.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, berkata jumlah 97 peratus itu membabitkan seramai 19,584 daripada 20,271 orang penjawat awam.
"Bilangan penjawat awam negeri yang belum mengambil vaksin atas faktor isu kesihatan dan lain-lain adalah sebanyak 687 atau bersamaan dengan tiga peratus.
"Kerajaan negeri menetapkan agar semua penjawat awam Perkhidmatan Awam Negeri melengkapkan imunisasi COVID-19 untuk mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selamat dan memastikan penyampaian perkhidmatan serta produktiviti berada pada tahap optimum.
"Sehubungan itu, Pekeliling Perkhidmatan Negeri Sabah Bil. 11 Tahun 2021 bertajuk Dasar Pelaksanaan Imunisasi COVID-19 bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri berkuatkuasa 14 Oktober 2021 telah dikeluarkan," katanya.
Mengulas lanjut, Abidin berkata, selepas 1 November lepas, semua pegawai Kerajaan Negeri perlu melengkapkan dos imunisasi COVID-19 dengan mengemukakan Sijil Digital Vaksinasi COVID-19.
"Mana-mana pegawai yang gagal mematuhi arahan ini boleh menyebabkan pegawai dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan selaras dengan Peraturan-peraturan Pegawai Awam Negeri Sabah 2008.
"Pegawai yang tidak layak untuk menerima suntikan imunisasi COVID-19 hendaklah mendapatkan pengesahan daripada pegawai perubatan dan memaklumkan ketua jabatan.
"Bagi memastikan pelaksanaan dasar ini, ketua jabatan boleh mempertimbangkan kaedah sesuai untuk mengurus mana-mana pegawai yang tidak mendapat dan melengkapkan imunisasi COVID-19 bukan atas sebab kesihatan.
"Kaedah ini termasuk mengarahkan pegawai untuk membuat ujian pengesanan COVID-19 berkala, sesi kaunseling bekerja dari rumah untuk satu tempoh, menggunakan cuti kelayakan yang ada dan kemudian cuti tanpa gaji dilayaki dan akhirnya tindakan penamatan perkhidmatan," katanya pada sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ewon Benedick (UPKO- Kadamaian) jumlah peratus penjawat awam negeri yang belum menerima vaksin COVID-19 serta dasar kerajaan negeri mengatasi masalah penjawat awam yang menolak vaksin.
Sementara itu, Abidin turut menjelaskan pihaknya turut mengenal pasti segelintir antara penjawat awam Sabah yang tidak mahu menerima vaksin disebabkan terpengaruh dengan anti-vaksin, pengaruh rakan serta agama.