Khamis, 9 Disember 2021 | 11:07am
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan (kiri) bersama Pegawai Pengurus Pilihanraya DUN Tanjong Datu, Gustian Durani berjalan keluar dari Pusat Penamaan Calon N.03 Tanjong Datu, Dewan Masyarakat Lundu, Isnin lalu. - Foto BERNAMA
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan (kiri) bersama Pegawai Pengurus Pilihanraya DUN Tanjong Datu, Gustian Durani berjalan keluar dari Pusat Penamaan Calon N.03 Tanjong Datu, Dewan Masyarakat Lundu, Isnin lalu. - Foto BERNAMA

Calon GPS bimbang peratusan keluar mengundi rendah

KUCHING: Calon muda Gabungan Parti Sarawak (GPS) melahirkan kebimbangan dengan jumlah peratusan keluar mengundi yang dijangka rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12, 18 Disember ini.

Calon termuda parti itu, Azizul Annuar Adenan, 30, berkata kekangan pengangkutan dan logistik selain pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dijangka memberi kesan kepada peratusan keluar mengundi seperti yang berlaku pada PRN Melaka baru-baru ini.

"Saya memang menjangkakan (peratusan keluar mengundi rendah) kerana kita lihat pada PRN Melaka baru-baru ini, di mana peratusan keluar mengundi amat rendah sekali.

"Saya menjangkakan (perkara sama) akan turut berlaku di Sarawak lebih-lebih lagi negeri ini berdepan kekangan logistik, pengangkutan dan pelaksanaan SOP," katanya kepada BH.

Biarpun berdepan kebimbangan itu, anak kepada bekas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu menegaskan, GPS akan menggunakan semua jentera parti untuk memberi keyakinan dan membawa pengundi keluar mengundi pada hari berkenaan.

Beliau turut berharap, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat membantu memastikan pengundi keluar mengundi pada hari pengundian kelak.

Sementara itu, calon GPS Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, turut menyuarakan kebimbangan sama terutama membabitkan faktor banjir akibat musim tengkujuh ketika ini.

"Secara umumnya, pengundi di DUN Lingga yakin untuk keluar mengundi kerana mereka ingin bersama terbabit dalam proses demokrasi namun apa yang membimbangkan adalah faktor lain seperti hujan dan masalah banjir.

"Itu yang kami cuba selesaikan kerana kami mahu semua pengundi dapat keluar pada hari pengundian. Jentera parti juga sudah bersedia membantu membawa pengundi keluar pada hari berkenaan," katanya.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini dilaporkan menyasarkan 70 peratus keluar mengundi pada PRN Sarawak Ke-12, 18 Disember ini.

Berita Harian X