Rabu, 8 Disember 2021 | 11:15pm

'Ali Biju langgar janji'

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) kecewa dengan tindakan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju, yang bertanding sebagai calon Bebas bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian.

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata tindakan itu melanggar perjanjian dibuat Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menjamin partinya tidak akan terbabit dalam Pilihan Raya Negeri Negeri (PRN) Sarawak.

Abang Johari berkata, GPS menunggu bentuk tindakan yang bakal diambil BERSATU terhadap Ali.

"Tan Sri Muhyiddin membuat kenyataan media akan mengambil tindakan kepada Ali Biju, (jadi) kita tunggu.

"Sudah tentu saya kecewa kerana ada perjanjian khusus kerana beliau (Muhyiddin) beritahu tiada calon BERSATU dalam PRN Sarawak," katanya pada sidang media selepas melancarkan Manifesto GPS di sini, malam ini.

Ali memenangi kerusi DUN Krian ketika bersama PKR pada PRN 2011 dan 2016, namun menyertai BERSATU selepas 'Langkah Sheraton'.

Ali Biju (kanan) ketika tiba di pusat penamaan calon di Dewan Masyarakat Sri Krian, Saratok, Isnin lalu.
Ali Biju (kanan) ketika tiba di pusat penamaan calon di Dewan Masyarakat Sri Krian, Saratok, Isnin lalu.

Pada 27 November lalu, Muhyiddin mengesahkan partinya tidak bertanding dalam PRN Sarawak dan akan membantu GPS.

Muhyiddin dilaporkan berkata, perkara itu diputuskan ketika perbincangan bersama Abang Johari.

Pada hari penamaan calon Isnin lalu, Ali secara tiba-tiba muncul di pusat penamaan calon dan menyerahkan borang untuk bertanding sebagai calon Bebas.

Beliau berdepan saingan empat penjuru daripada Musa Dinggat (PSB), Danny Kuan (PBK) dan Friday Belik (GPS).

Ketua Menteri Sarawak yang juga Presiden GPS, Tan Sri Abang Johari Openg, pada sidang media selepas melancarkan Manifesto GPS bagi PRN Sarawak ke-12, hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Menteri Sarawak yang juga Presiden GPS, Tan Sri Abang Johari Openg, pada sidang media selepas melancarkan Manifesto GPS bagi PRN Sarawak ke-12, hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X