Rabu, 8 Disember 2021 | 10:25pm
Datuk Wira Louis Ng. Foto RUBY.MY
Datuk Wira Louis Ng. Foto RUBY.MY

Model Perniagaan PGMall beri peluang pengguna jana pendapatan

KUALA LUMPUR: Rahsia di sebalik kejayaan model perkongsian keuntungan atau 'consumerchant' dibangunkan platform e-dagang tempatan, PGMall, dikongsi menerusi penerbitan buku berjudul, Consumerchant PGMall Membina Income Sambil Shopping.

Buku karya usahawan e-dagang, Jonaina Nordin, itu bermatlamat menggalakkan pengguna platform jualan dalam talian PGMall, memanfaatkan peluang membeli-belah sambil menjana pendapatan secara pasif.

"Buku ini ditulis berdasarkan pengalaman sendiri, bermula sebagai pembeli di platform PGMall dan kemudian secara perlahan-lahan pada 2019, memanfaatkan model perniagaan 'consumerchant' untuk meraih pendapatan sehingga ke hari ini.

"Tugas seharian seorang suri rumah dengan lima orang anak yang masih kecil menyukarkan untuk bekerja di luar, jadi dengan hanya menggunakan telefon pintar, saya berkongsi tawaran barangan menarik di platform PGMall di media soial dan beroleh pendapatan melalui insentif pulangan balik (cashback)," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku Consumerchant PGMall Membina Income Sambil Shopping di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengasas dan Pengarah Urusan PGMall, Datuk Wira Louis Ng, Ketua Pegawai Operasinya, Jerry Ng, dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Yong Kai Ping.

Jonaina berkata, karyanya itu bermatlamat memberi panduan kepada masyarakat terutama generasi muda supaya memanfaatkan peluang menceburi ekonomi gig, mengambil kira ketidaktentuan ekonomi semasa berikutan pandemik COVID-19.

"Saya sedar ramai yang terkesan akibat pandemik COVID-19, jadi melalui buku ini, ia langkah pertama untuk ceburi perniagaan tanpa modal dengan model perniagaan berkonsep menang-menang bukan sahaja untuk penyedia platform tetapi peniaga dan pembeli.

"Bagi peniaga atau pembeli yang berdaftar dengan PGMall, setiap kali ada transaksi pembelian, mereka layak mendapat pulangan balik sebanyak 0.5 peratus dan jika mengesyorkan barangan yang ditawarkan kepada pengguna lain, turut mendapat insentif sama," katanya.

Sementara itu, Ng berkata, consumerchant adalah pendekatan perkongsian ekonomi membabitkan tiga pihak iaitu PGMAll sebagai penyedia platform, peniaga yang menjual produk dan pembeli.

Katanya, model perniagaan unik syarikat itu buat julung kali dikongsikan bagi membuka peluang secara menyeluruh kepada masyarakat menjana pendapatan bersama.

"PGMall adalah satu-satunya penyedia platform e-dagang tempatan yang menggunakan model perniagaan sebegini dengan manfaatnya begitu besar kerana keuntungan bukan dijana setakat hari ini tetapi ia boleh diwariskan untuk generasi akan datang.

"Pembeli di platform kami tidak sekadar melaburkan wang untuk membeli-belah tetapi boleh menikmati pelbagai keistimewaan seperti tawaran harga rendah, baucar, kos penghantaran percuma dan paling menarik, pulangan balik (cashback) seumur hidup dengan hanya memperkenalkan pembeli baharu," katanya.

Jelasnya, peluang untuk meraih pendapatan melalui PGMall juga amat besar dengan jumlah pembeli di platform itu mencatatkan penambahan berganda berbanding sebelum pandemik COVID-19.

"Sebelum pandemik, jumlah pembeli di platform kami sekitar 300,000 orang tetapi ia terus mencatatkan peningkatan dengan 600,000 pembeli bagi tahun ini.

"Ini menunjukkan perkembangan yang sangat baik untuk pengguna memanfaatkan model perniagaan kami yang bermatlamat menyediakan ekosistem perniagaan yang seimbang dan sihat dengan menawarkan peluang saksama kepada semua orang meraih pendapatan serta membangunkan empayar perniagaan bersama PGMall," katanya.

Berita Harian X