Rabu, 8 Disember 2021 | 8:11pm
Rina pada sidang Dewan Rakyat, hari ini. - FOTO BERNAMA
Rina pada sidang Dewan Rakyat, hari ini. - FOTO BERNAMA

KPWKM rancang semak Pelan Tindakan OKU, Akta Pusat Jagaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang merancang semakan terhadap Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya (OKU) dan Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506).

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata pelan tindakan berkenaan akan tamat pada 2022.

"Semua ini juga sudah dimasukkan ke dalam pelan dasar Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Kementerian sudah mengedarkan surat bertarikh 28 September lalu kepada 20 agensi peneraju bagi mendapatkan maklum balas status pencapaian program tindakan bawah Pelan Tindakan OKU 2016-2022.

"Hingga 8 Disember 2021 (hari ini), 19 agensi peneraju sudah mengemukakan maklum balas," katanya ketika menggulung perbahasan bagi KPWKM di Dewan Rakyat, hari ini.

Seterusnya, Rina memaklumkan bahawa satu mesyuarat bagi membincangkan penubuhan pasukan projek khas semakan Akta OKU 2008 juga sudah diadakan pada 3 November lalu.

Beliau berkata, mesyuarat itu bersetuju supaya semakan akta berkenaan dipengerusikan oleh wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Senarai keahlian akan diperhalusi, manakala bengkel bakal diadakan bagi menyediakan input semakan Akta OKU 2008," katanya.

Bagi melindungi kebajikan kanak-kanak pula, Rina berkata, pihaknya sudah melantik 140 pasukan pelindung kanak-kanak dan 133 pasukan kebajikan kanak-kanak.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Gangguan Seksual dijangka dibentang bagi bacaan kali pertama pada sidang kali ini, manakala RUU Kesaksamaan Gender dalam perancangan untuk dibentangkan pada 2023.

Sementara itu, dua lagi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 Peringkat Jawatankuasa diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini, membabitkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta KPWKM.

RUU bagi KKMM dan KPWKM itu diluluskan melalui undian suara majoriti Ahli Parlimen, masing-masing diumumkan oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, serta Speaker, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Berita Harian X