Rabu, 8 Disember 2021 | 8:04pm

27 pelajar IPG Kent Baru dijangkiti COVID-19

KOTA KINABALU: Seramai 27 pelajar wanita Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent Baru dijangkiti COVID-19 sekali gus mencetuskan satu lagi kluster baharu, Kluster Jalan Tuaran Bakut.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata kluster dalam kategori institusi pendidiukan itu dikenal pasti di daerah Tuaran.

"Kes indeks ialah pelajar wanita warga tempatan berusia 20 tahun yang dikesan positif COVID-19 melalui ujian PCR pada 27 November lepas dalam saringan bergejala.

"Saringan kontak rapat dan saringan bergejala ke atas 134 orang mendapati 26 kes positif, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 27 kes.

"Punca jangkitan masih dalam siasatan. Bagaimanapun penularan jangkitan disyaki berpunca daripada aktiviti pergaulan pelajar di asrama.

"Semua pesakit telah diasingkan dan diberikan rawatan yang sesuai," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 322 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 236,046 kes.

"Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 321 menjadikan jumlah kumulatif 226,330 orang.

"Manakala 1,195 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 580 orang di hospital, 605 orang di Pusat Kuarantin danRawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, lapan (8) orang di Pusat Tahanan Sementara

(PTS) dan dua orang di fasiliti swasta," katanya.

Berita Harian X