Rabu, 8 Disember 2021 | 4:15pm

Pengurusan pantas vaksinasi kekang penularan COVID-19

KUALA LUMPUR: Liputan vaksinasi meluas, kepantasan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang antara terbaik di dunia mempengaruhi pengurangan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di negara ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kejayaan program vaksinasi terutama daripada segi liputan, kepantasan dan pemberian dos penggalak banyak membantu Kementerian Kesihatan (KKM) mengurangkan kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital.

"Ini berikutan penerima dos vaksin lengkap dan kini mula menerima dos penggalak iaitu dos ketiga dilindungi daripada gejala serius COVID-19, dengan kemungkinan besar pesakit tidak perlu dimasukkan ke hospital dengan hanya menjalani kuarantin kendiri.

"Penurunan pesakit di ICU juga kerana kepantasan pengurusan dos penggalak serta pelbagai usaha memberi penerangan bagaimana rakyat dapat memantapkan kesihatan kendiri.

"Pada masa sama, amalan penilaian kendiri Ujian, Lapor, Maklum, Kuarantin dan Dapatkan Rawatan (TRIIS) membantu memberikan penilaian lebih terperinci yang membantu KKM mengambil tindakan selanjutnya," katanya ketika program Buletin BERNAMA, Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 hari, hari ini.

Khairy berkata, dalam pada itu, KKM akan membuat panggilan, menghantar pesanan ringkas atau tindakan susulan lain sekiranya berlaku kemerosotan tahap kesihatan.

"Misalnya pesakit bergejala ringan yang menjalani kuarantin kendiri melaporkan mengalami sesak nafas diberi bantuan ambulans untuk ke hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

"Ia adalah antara langkah pemantauan yang diperkemaskan sekarang ini kita berjaya menurunkan kadar kematian di luar hospital (BID) namun ia ada masih ada, jadi kita akan mempertingkatkan penerangan dan usaha untuk mereka mendapatkan rawatan jika keadaan semakin teruk," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, hampir 3.2 juta dos penggalak diberikan setakat ini dengan kapasiti harian 115,000 sehari dan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun katanya, masalah yang dihadapi ketika ini ada segelintir individu tidak menghadiri janji temu untuk dos penggalak.

"KKM ingin menegaskan dos penggalak adalah sangat-sangat digalakkan terutama disebabkan varian Omicron.

"Perkembangan negara lain terutama Afrika Selatan menunjukkan dos penggalak diperlukan untuk memantapkan lagi tahap imuniti terhadap COVID-19.

"Jadi kita harap yang terima janji temu untuk mendapatkan dos penggalak, sila hadir dan dapatkan apa saja vaksin yang disediakan sama ada Pfizer, Sinovac atau AstraZeneca," katanya.

Berkenaan varian Omicron, Khairy menjelaskan daripada segi kebolehjangkitan Omicron lebih tinggi daripada Delta atau lebih mudah dijangkiti.

"Jika dilihat di Afrika Selatan, kadar kebolehjangkitannya sangat tinggi berbanding Delta, cuma beberapa perkara yang tidak dapat dipastikan lagi, dua perkara itu, dari segi kesan kematian dan kemasukan ke hospital.

"Yang kedua, sejauh mana keberkesanan vaksin pada paras mantap seperti awal pengambilan vaksin. Justeru, saya merayu penting untuk mengambil dos penggalak supaya kes tidak melonjak lebih 20,000 pada Ogos lalu," katanya.

Katanya, KKM berpendapat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak perlu diadakan kembali dan negara perlu pandang ke hadapan dan berikutan rakyat mahu kebebasan pergerakan.

"Rakyat mahu pulang ke kampung untuk menyambut hari raya pada tahun depan tetapi kita semua seharusnya memainkan peranan, mengambil dos penggalak dan langkah-langkah kesihatan awam, pemakaian pelitup muka, elak tempat sesak, jaga penjarakan fizikal.

"Dalam suasana musim percutian ini, saya bimbang orang ramai semakin longgar pematuhan prosedur operasi standard (SOP), saya harap sentiasa patuhi langkah-langkah kesihatan," katanya.

Ini kerana katanya, meskipun keadaan sukar menjaga penjarakan ia tetap perlu diusahakan sebab kerajaan sudah menetapkan beberapa langkah perlindungan yang boleh diambil.

"Selain daripada vaksinasi, langkah-langkah yang sentiasa diulang tetapi saya tegaskan saranan ini terutama kepada golongan berisiko tinggi ibu bapa, warga emas kalau boleh elakkan membawa mereka di tempat sesak yang boleh dijangkiti COVID-19," katanya.

Mengenai Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang bermula esok hingga Ahad ini, Khairy menasihatkan orang ramai supaya patuh SOP.

"Dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) memang dibenarkan untuk mengadakan pameran, tetapi saya semua orang perlu mengamalkan saranan KKM.

"Ini kerana kita sudah banyak melihat perubahan yang lebih cerah, positif dan optimis tetapi kita belum menang, justeru perlu bersama cegah COVID-19, kerana langkah-langkah kita menentukan pembukaan negara kita dengan selamat dan tahun depan, kita balik kampung balik beraya bersama keluarga," katanya.

Berita Harian X