Rabu, 8 Disember 2021 | 2:05pm
 Foto AFP
Foto AFP

Google tutup web jenayah siber godam sejuta peranti

WASHINGTON: Google menutup satu jaringan membabitkan kira-kira satu juta peranti elektronik yang digodam untuk kegunaan jenayah dalam talian, selain menyaman penggodam berpangkalan di Russia yang didakwa bertanggungjawab.

Peranti dijangkiti dikenali sebagai botnet yang turut digunakan untuk melombong bitcoin secara tersembunyi itu disekat daripada kawalan individu yang mendalanginya menerusi internet buat masa ini.

"Pengendali Glupteba dijangka akan mencuba mengawal semula botnet itu menggunakan arahan sandaran dan mekanisme kawalan," kata Shane Huntley dan Luca Nagy daripada kumpulan penganalisis ancaman Google.

Syarikat teknologi utama seperti Google dan Microsoft semakin kerap terbabit dalam perang melawan jenayah siber yang dilaksanakan menerusi produk mereka, sekali gus memberi mereka kefahaman unik dan akses terhadap ancaman berkenaan.

Google berkata, jaringan itu merangkumi kira-kira satu juta peranti pengguna Windows di seluruh dunia bagi tujuan jenayah termasuk mencuri tauliah pengguna dan menyasarkan mangsa dari Amerika Syarikat (AS), India, Brazil dan Asia Tenggara.

Syarikat itu turut memfailkan saman di mahkamah persekutuan New York terhadap Dmitry Starovikov dan Alexander Filippov bagi mendapatkan injuksi menghalang kedua-dua individu itu menggunakan platform mereka bagi tujuan salah laku.

Pakar keselamatan siber mula mengesan Glupteba pada 2011, yang tersebar dengan menyamar sebagai perisian percuma, video atau filem yang dimuat turun pengguna ke dalam peranti mereka tanpa disedari.

Namun, berbeza daripada botnet konvensional yang bergantung pada saluran khusus bagi mengekalkan kewujudannya, Glupteba diprogram untuk mencari pelayan pengganti untuk kekal beroperasi walaupun selepas diserang.

Disebabkan laman botnet itu menggabungkan keupayaan kira-kira sejuta peranti, ia memiliki kekuatan luar biasa yang boleh digunakan untuk menyerang menggunakan perisian tebusan secara besar-besaran atau serangan lain.

Bagi mengekalkan jaringan itu, organisasi terbabit 'menggunakan iklan Google untuk memuat naik iklan mencari pekerjaan' bagi melaksanakan jenayah mereka.

Penggodam turut menggunakan perkhidmatan Google untuk menyebarkan perisian hasad. Gergasi internet itu menutup kira-kira 63 juta Google Docs dan lebih 1,100 akaun Google yang digunakan untuk menyebarkan Glupteba. - AFP

Berita Harian X