Rabu, 8 Disember 2021 | 10:28am
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram ketika tiba di perkarangan lobi Istana Kehakiman berikutan keputusan permohonan rayuan kes SRC International yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Rayuan Putrajaya. - Foto NSTPMohd Fadli Hamzah
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram ketika tiba di perkarangan lobi Istana Kehakiman berikutan keputusan permohonan rayuan kes SRC International yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Rayuan Putrajaya. - Foto NSTPMohd Fadli Hamzah

Mahkamah Rayuan dapati hakim Mahkamah Tinggi tidak tersalah arah

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mendapati hakim mahkamah tinggi tidak tersalah arah dalam memerintahkan Najib membela diri terhadap tujuh tuduhan kes penyelewengan SRC International Sdn Bhd.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, berkata Mahkamah Rayuan dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa perayu mempunyai kepentingan peribadi dalam kelulusan kabinet bagi pinjaman RM4 bilion oleh SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Katanya, Mahkamah Rayuan bersetuju dengan dapatan mahkamah tinggi bahawa Najib adalah pengarah bayangan SRC, beliau melantik pengarah dalam syarikat itu dan menandatangani surat pelantikan.

"Disebabkan itu semua pengarah mematuhi arahan Najib di mana tiada bukti menunjukkan bahawa mereka tidak mematuhi keputusan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan penghakiman dalam prosiding bagi mendengar rayuan bekas Perdana Menteri itu untuk mengetepikan sabitannya terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan melibatkan wang milik SRC.

Abdul Karim mempengerusikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Najib, 68, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang menjatuhi hukuman 10 tahun penjara ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga kes pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Najib sebelum ini mengemukakan 307 alasan dalam petisyen rayuannya, mengapa beliau perlu dibebaskan daripada pertuduhan terbabit; antaranya ialah beliau tidak mendapat perbicaraan yang adil dan saksama.

Berita Harian X