Rabu, 8 Disember 2021 | 9:10am
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - Foto fail NSTP
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - Foto fail NSTP

Tiada penyokong Najib hadir prosiding secara hibrid

PUTRAJAYA: Tidak seperti kebiasaan apabila membabitkan keputusan kes berprofil tinggi, perkarangan istana Kehakiman hari ini yang akan memutuskan rayuan Datuk Seri Najib Razak hanya dipenuhi media tempatan dan asing.

Walaupun tiada penyokong yang hadir memberikan sokongan, perkarangan mahkamah pada kedua belah pintu masuk tetap dikawal ketat oleh pengawal keselamatan dan polis bantuan mahkamah.

Hampir 100 wartawan dan jurugambar media tempatan dan asing dibenarkan mengikuti prosiding yang dijalankan secara hibrid.

Pasukan pendakwaan dan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan akan menghadiri prosiding secara fizikal manakala Najib dan pasukan peguamnya menyertai prosiding melalui aplikasi Zoom daripada rumah masing-masing.

Ia berikutan mereka tidak dibenarkan berada di mahkamah kerana status MySejahtera bertukar kuning berikutan salah seorang peguam disahkan positif COVID-19.

Selepas tujuh bulan mendengar rayuan Najib yang mengemukakan 307 alasan kenapa dirinya tidak patut didapati bersalah terhadap kesemua tujuh tuduhan, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera akan memberikan keputusan mereka yang dijadualkan pada jam 9 pagi.

Najib merayu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC.

SRC ialah subsidiari kepada syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram (masing-masing tiga tuduhan) serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun, bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun, beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas hakim itu memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Berita Harian X