Rabu, 8 Disember 2021 | 8:35am
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail

Polis intip kaki judi bertaruh keputusan PRN Sarawak

SIBU: Polis memantau rapi aktiviti perjudian membabitkan pertaruhan keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) yang akan diadakan 18 Disember ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, berkata Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas kini berusaha mengesan individu atau kumpulan yang terbabit dalam aktiviti berkenaan.

"Polis sedia maklum perkara itu (pertaruhan keputusan pilihan raya) dan sentiasa memantau bagi mengesan mereka yang cuba menganjurkannya.

"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana yang terbabit dan tindakan undang-undang menanti mereka yang didapati melakukannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong, Datuk Seri Tiong King Sing mengenai aktiviti pertaruhan keputusan pilihan raya yang mula dikesan.

King Sing yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) serta Ahli Parlimen Bintulu berkata, beliau mendapat maklumat berhubung aktiviti pertaruhan dan kaki judi turut mensasarkan kawasan yang ditandinginya.

Beliau mendakwa, kaki judi dikenal pasti sudah mula membuka pertaruhan membabitkan kawasan yang beliau tandingi.

"Lebih mengejutkan ia membabitkan saya kerana mereka mengatakan saya hebat lalu meletakkan pertaruhan berapa undi saya boleh dapat," katanya.

PRN-12 Sarawak menyaksikan seramai 349 calon bertanding di 82 kawasan DUN dengan kerusi Dudong yang ditandingi King Sing membabitkan calon paling ramai iaitu lapan orang.

Sebanyak enam kerusi membabitkan pertandingan tujuh penjuru, 24 kerusi sebanyak lima penjuru, 33 lagi membabitkan empat penjuru, 13 kerusi sebanyak tiga penjuru manakala empat kerusi satu lawan satu.

Pilihan raya kali ini juga menyaksikan sebanyak 10 parti bertanding dengan GPS selaku parti utama bertanding di semua 82 kawasan.

Parti Bumi Kenyalang meletakkan 73 calon, Parti Sarawak Bersatu (70), PKR (28), DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (15), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (11), Amanah (8), Parti Sedar Rakyat Sarawak (5) dan PAS (1) manakala 30 lagi bertanding sebagai calon Bebas.

Berita Harian X