Selasa, 7 Disember 2021 | 7:56pm

Sabah tubuh syarikat minyak, gas sendiri

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini mengumumkan penubuhan syarikat minyak dan gas milik penuh Sabah, dinamakan SMJ Petroleum Sdn Bhd.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor ketika mengumumkan perkara itu berkata, ia satu kejayaan bersejarah bagi Sabah hasil keputusan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai di antara kerajaan negeri dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

"CCA adalah dokumen yang paling penting di antara Sabah dan PETRONAS sejak 16 Jun 1976 apabila perjanjian pembayaran tunai atau royalti dipersetujui, yang ditandatangani di antara Sabah dan PETRONAS.

"Majlis menandatangani CCA hari ini sememangnya menandakan era baharu dalam industri minyak dan gas Sabah," katanya pada Majlis Menandatangani CCA di antara kerajaan negeri dan PETRONAS di Menara Kinabalu, di sini, petang ini.

Perjanjian itu ditandatangani Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Safar Untong selaku wakil kerajaan negeri, manakala PETRONAS diwakili Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Yang turut menyaksikan majlis itu ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun; Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Ir Mohamed Firouz Asnan.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata sejajar dengan terma dan syarat CCA, kerajaan negeri menubuhkan syarikat milik penuhnya sendiri untuk terbabit secara aktif dalam industri minyak dan gas.

"Saya berasa gembira mengumumkan penubuhan SMJ Petroleum Sdn Bhd yang akan menerajui penyertaan komersial negeri dalam industri minyak dan gas serta menyelaras semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri sedia ada bagi memastikan terma dan syarat CCA dilaksanakan untuk kepentingan Sabah dan rakyatnya," katanya.

Beliau berkata, satu jawatankuasa bersama ditubuhkan oleh Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) baru-baru ini untuk membincangkan pembabitan secara komersial Sabah dalam industri minyak dan gas di antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan PETRONAS.

Sebelum penubuhan jawatankuasa itu, katanya, kerajaan negeri dan PETRONAS mengambil inisiatif sendiri dengan mengadakan perbincangan bermula pada 8 Oktober lalu, yang akhirnya berjaya memuktamadkan CCA dua bulan kemudian.

"Ini menunjukkan PETRONAS dan kerajaan negeri boleh bekerjasama dalam pembangunan industri minyak dan gas di Sabah. Komitmen kerajaan negeri dan PETRONAS memudahkan Kerajaan Persekutuan kerana hanya satu Mesyuarat Jawatankuasa Bersama untuk kedua-dua pihak mencapai titik persamaan yang ditetapkan dalam CCA," katanya.

Hajiji berkata, perjumpaan Jawatankuasa Bersama diadakan pada 1 Disember lalu yang mana Kerajaan Persekutuan bersetuju mengesahkan dan memudahkan penguatkuasaan CCA.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (tiga kiri) bersama Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh (tiga kanan) menyaksikan Majlis Menandatangani 'Commercial Collaboration Agreement' di antara kerajaan negeri dan PETRONAS di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, hari ini. - NSTP/Mohd Adam Arinin
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (tiga kiri) bersama Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh (tiga kanan) menyaksikan Majlis Menandatangani 'Commercial Collaboration Agreement' di antara kerajaan negeri dan PETRONAS di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, hari ini. - NSTP/Mohd Adam Arinin
Berita Harian X