KUALA LUMPUR: Kajian bagi reka bentuk baharu struktur cerun di kawasan tanah runtuh di Simpang Pulai, Perak, telah dimasukkan ke dalam senarai keutamaan projek bagi 2022.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata langkah itu bertujuan memastikan risiko tanah runtuh dapat dikurangkan pada masa depan.
"Kementerian Kerja Raya (KKR) ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tanah runtuh.
"Kerja-kerja kecemasan sedang giat dijalankan oleh pihak konsesi," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 Peringkat Jawatankuasa bagi KKR di Dewan Rakyat, hari ini.
Bagi kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands pula, Arthur berkata, pihak konsesi melaksanakan kerja kerja kecemasan, dan ia juga sudah dimasukkan ke dalam senarai keutamaan projek bagi tahun depan, di samping kajian terperinci akan dilaksana bagi mengurangkan risiko. – BERNAMA