Selasa, 7 Disember 2021 | 7:18pm

Perjanjian Sabah, PETRONAS beri kesan limpahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perjanjian kolaborasi komersial (CCA) antara kerajaan Sabah dan PETRONAS adalah mercu tanda pembangunan industri minyak dan gas di negeri itu.

"Ia adalah mercu tanda dalam usaha sama pembangunan industri minyak dan gas di Sabah dan kerjasama strategik ini akan memberi kesan limpahan ekonomi yang lebih menyeluruh di negeri berkenaan.

"Perjanjian dimeterai juga membolehkan kerajaan Sabah memainkan peranan lebih besar dalam mengembangkan industri minyak dan gas melalui usaha sama erat bersama PETRONAS," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Di samping itu, Ismail Sabri berkata, ia akan membuka peluang perniagaan lebih meluas kepada syarikat tempatan untuk berkecimpung di dalam industri khidmat minyak dan gas di Sabah.

"Pada masa sama, PETRONAS akan terus memainkan peranan sebagai syarikat petroleum milik negara dengan kuasa penuh mengawal selia pembangunan industri minyak dan gas secara menyeluruh, selaras dengan undang-undang negara.

"Permuafakatan dicapai itu sesungguhnya melambangkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk bekerjasama dengan kerajaan Sabah," katanya.

Perdana Menteri berkata, perkara itu juga bagi memastikan pembangunan inklusif supaya manfaat pembangunan negara dapat dinikmati bersama secara lebih adil dan saksama.

Berita Harian X