Selasa, 7 Disember 2021 | 4:11pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - NSTP/AZIAH AZMEE
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - NSTP/AZIAH AZMEE

Najib gagal masuk bukti baharu

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini gagal dalam permohonan memasukkan bukti dan keterangan baharu bagi dipertimbangkan oleh Mahkamah Rayuan sebelum keputusan mengetepikan sabitan dan hukuman kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Keterangan baharu yang ingin dimasukkan Najib dalam rayuannya membabitkan dakwaan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya bersekongkol dalam rancangan jahat ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low terhadap dirinya.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Najib gagal menunjukkan wujud keadaan luar biasa yang melampau bagi membolehkan mahkamah menerima bukti berkenaan.

Abdul Karim berkata, Najib selaku perayu gagal secara kumulatif dalam memenuhi peruntukan undang-undang berhubung kemasukan bukti baharu.

Beliau berkata, kemasukan bukti terbabit tidak perlu bagi pertimbangan rayuan kes berkenaan.

Abdul Karim berkata, apa yang diperlukan bagi memenuhi peruntukan mengikut Seksyen 61 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman 1964 adalah perayu mesti menunjukkan bukti itu

perlu dipertimbangkan mahkamah, atau ia boleh menyebabkan salah laku keadilan.

"Untuk berjaya dalam permohonannya, perayu mesti menunjukkan bukti itu belum dikemukakan dalam perbicaraan kes, ia mesti bukti yang relevan, bukti berkenaan berwibawa dan boleh dipercayai serta ia boleh menimbulkan keraguan munasabah kepada mahkamah jika dipertimbangkan bersama-sama bukti lain.

"Selepas menimbang hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah mendapati perayu gagal membuktikan empat elemen yang diperlukan seperti mana yang diterima pakai oleh mahkamah ini.

"Oleh yang demikian, kami mendapati bukti tambahan ini tidak perlu untuk diterima masuk, maka permohonan perayu dengan ini ditolak," katanya.

Abdul Karim memaklumkan prosiding keputusan esok akan berjalan seperti dijadualkan dan menasihati Najib dan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, hadir di mahkamah esok atau menerusi prosiding maya.

Muhammad Shafee dan peguam bela lain dilarang memasuki bangunan mahkamah kerana status MySejahtera mereka kuning berikutan seorang peguam disahkan positif COVID-19.

Katanya, media turut memperkatakan mengenai mengapa mereka tidak perlu hadir mahkamah dan mula mengambil pertimbangan untuk memohon penangguhan.

Bagaimanapun, Abdul Karim menyatakan mahkamah tidak mahu mendengarnya.

Hakim itu berkata, pembelaan masih berpeluang merayu keputusan mahkamah esok dan keputusan yang menolak permohonannya memasukkan bukti baharu.

"Esok adalah pendengaran keputusan sahaja, bukan untuk berhujah.

"Kami sudah mengambil kira keadaan sebegini dan di bawah undang-undang baharu, ia boleh dijalankan secara online (dalam talian).

"Pembelaan boleh buat hujahan (penangguhan pelaksanaan hukuman) secara dalam talian (jika keputusan tidak memihak kepada mereka)," katanya.

Muhammad Shafee kemudian berkata, pihaknya akan hadir melalui aplikasi Zoom.

Berdasarkan Seksyen 15A Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman (CoJA) (Pindaan) 2020, Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi dibolehkan mengendalikan prosiding melalui siaran langsung video atau televisyen atau mana-mana alat komunikasi.

Najib memohon memasukkan bukti baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dengan mendakwa berlaku pembabitan Zeti dan keluarganya dengan Jho Low.

Najib memfailkan notis usul pada 2 Disember lalu dengan memohon mahkamah rayuan menerima masuk bukti baharu yang dikemukakan bagi membolehkan rayuannya didengar kembali sebelum dipertimbangkan panel hakim bagi keputusan.

Najib merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun sertadenda RM210 juta atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan

Bukti baharu yang dipohon oleh Najib untuk dimasukkan bagi tujuan rayuannya ialah keterangan viva voce (lisan) Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussein dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut yang berbangkit.

Rosli adalah saksi pendakwaan ke-57 dalam perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International manakala Azam tidak pernah dipanggil memberi keterangan sama ada sebagai saksi pendakwaan atau pembelaan.

Najib dalam afidavit sokongannya berkata, beliau memfailkan notis usul itu selepas mendapati keterangan berkaitan pembabitan Zeti dan ahli keluarganya tidak dimaklumkan atau didedahkan kepada pasukan pembelaan sebelum atau sepanjang perbicaraannya.

Najib mendakwa, keterangan baharu itu sekiranya tidak 'disorok' oleh Bank Negara Malaysia (BNM), SPRM dan juga pendakwaan, boleh menyebabkan keputusan Mahkamah Tinggi berpihak kepadanya dan mampu menimbulkan keraguan munasabah dalam kes SRC International.

Berita Harian X