Selasa, 7 Disember 2021 | 2:38pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan), Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah (dua dari kiri) hadir pada pelancaran ‘A Framework For Malaysia’s Foreign Policy In A Post-Pandemic World’, hari ini. - Foto BERNAMA
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan), Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah (dua dari kiri) hadir pada pelancaran ‘A Framework For Malaysia’s Foreign Policy In A Post-Pandemic World’, hari ini. - Foto BERNAMA

Malaysia akan bersuara bila perlu - PM

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan teragak-agak untuk menyuarakan pandangan, bantahan atau pendirian berkecuali membabitkan pelbagai isu antarabangsa, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, pendekatan itu akan tetap diambil, selari kedudukan Malaysia dalam menggalas tanggungjawab sebagai ahli keluarga dunia.

"Malaysia ialah sebuah negara yang sentiasa berpegang kepada prinsip keamanan antara pelbagai negara, maka kita kekal memilih penyelesaian secara aman bagi merungkai sebarang pertikaian berbanding beradu tenaga menerusi kekuatan ketenteraan.

"Justeru, Malaysia akan terus merintis dasar luar yang pragmatik, bebas, berprinsip dan tidak menyebelahi mana-mana pihak, bersandarkan nilai keamanan, keadilan serta kesaksamaan.

"Kita akan terus menghormati kebebasan, kedaulatan dan integriti kawasan negara lain, selain mengamalkan prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain.

"Bagaimanapun, sebagai ahli keluarga dunia yang bertanggungjawab, Malaysia tidak akan teragak-agak mengutarakan pandangan, bantahan atau mengambil pendirian berkecuali terhadap kekejaman, penindasan, ketidakadilan dan tindakan tidak berperikemanusiaan," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA

Beliau berkata demikian pada ucaptama pelancaran Kerangka Dasar Luar di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa Dewan Rakyat, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Menyentuh inti pati kerangka luar, Ismail Sabri berkata, tujuh aspek akan diberi penekanan bagi merungkai pelbagai cabaran yang masih membelenggu Malaysia dan negara di seluruh dunia.

"Pertamanya, menghidupkan semula rangkaian Malaysia terhadap ekonomi global dengan memfokuskan usaha ke arah mewujudkan kerjasama dengan negara lain di peringkat antarabangsa.

"Memacu diplomasi kesihatan melangkaui usaha sekadar menerima atau menderma vaksin dan peralatan perubatan lain, justeru ia memerlukan Malaysia untuk terbabit secara langsung dalam pengeluaran serta penghasilan rantaian perbekalan vaksin di seluruh dunia.

"Ketiga, membangunkan ekonomi digital yang menjadi pemacu utama ke arah pertumbuhan ekonomi Malaysia dan memperkukuhkan norma keselamatan siber antarabangsa serta perundangan berkaitan bagi melindungi kepentingan Malaysia.

"Kita juga ingin memberi penekanan terhadap diplomasi kebudayaan untuk memperkukuh identiti unik Malaysia di pentas global, selain mempromosikan prinsip kebersamaan antara negara, rakyat berbilang kepercayaan, agama dan budaya," katanya.

Menerusi kerangka sama, Ismail Sabri berkata, Malaysia akan terus merintis usaha mencapai segenap matlamat yang digariskan dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Berita Harian X