Selasa, 7 Disember 2021 | 2:11pm
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri melihat binatang yang diawet selepas merasmikan Pameran Keajaiban Taksidermi di Muzium Negara. - Foto NSTP/Fathil Asri
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri melihat binatang yang diawet selepas merasmikan Pameran Keajaiban Taksidermi di Muzium Negara. - Foto NSTP/Fathil Asri

MOTAC pastikan sektor muzium bangkit semula

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memastikan sektor pelancongan, kesenian dan kebudayaan terutamanya program di bawah permuziuman bangkit semula selepas mengalami kelesuan susulan pandemik COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata situasi pandemik COVID-19 menyebabkan sektor permuziuman mengalami pengurangan pendapatan dengan jumlah pengunjungnya merosot melebihi 70 peratus sepanjang tahun lalu dan tahun ini.

Jabatan Muzium Malaysia (JMM) hanya mencatat 241,909 pengunjung di semua 23 muziumnya termasuk Muzium Negara sepanjang Januari hingga November tahun ini berbanding 2.7 juta pengunjung pada 2019 serta 2.3 juta pada tahun sebelumnya.

"Hasrat MOTAC adalah memastikan sektor pelancongan, kesenian dan kebudayaan pulih dan bangkit selaras slogan 'Coming Back Stronger' (Kembali Lebih Kuat) justeru pelbagai aktiviti sudahpun beroperasi secara fizikal dan menanti kunjungan seperti Pameran Keajaiban Taksidermi: Kehidupan Abadi.

"Penganjuran ini akan kembali meningkatkan potensi muzium sebagai penyumbang utama kepada usaha kerajaan menjana semula sektor ekonomi negara.

"Saya juga percaya inisiatif ini akan memberi lebih banyak pilihan serta variasi kepada produk pelancongan negara tambahan lagi dengan peranan muzium yang menawarkan ilmu bermanfaat berteraskan sejarah, budaya dan alam semula jadi negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Keajaiban Taksidermi: Kehidupan Abadi dan Pelancaran Kempen Derma Koleksi di Muzium Negara, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamat; Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Saraya Arbi dan Ketua Pengarah JMM, Datuk Kamarul Baharin A Kasim.

Sebanyak 126 koleksi fauna yang diawet bagi tujuan pendidikan dan penyelidikan termasuk seekor badak Sumatera berusia 120 tahun, iaitu spesis yang sudah pupus di negara ini, akan dipamerkan sehingga 18 Mac tahun hadapan di Muzium Negara, di sini.

Turut dipamerkan 36 spesis mamalia, reptilia (tujuh spesis); amfibia (lima spesis) dan satu tengkorak gajah Asia.

Sementara itu, Kamarul Baharin berkata, JMM melalui Muzium Alam Semula Jadi mengambil inisiatif menganjurkan pameran ini berikutan kepentingan cabang ilmu ini dalam memperihalkan mengenai sejarah dan perkembangan bidang taksidermi di negara ini.

"Aplikasi ilmu taksidermi membolehkan benda hidup yang sudah mati dikekalkan jasadnya supaya penciptaannya dapat dikaji dan dipelajari.

"Diharapkan pameran ini dapat menarik perhatian masyarakat untuk menghargai hasil seni taksidermi di samping menghayati kepentingan memelihara khazanah fauna negara," katanya yang menjangkakan pameran itu akan menarik sehingga 20,000 pengunjung.

Berita Harian X