Selasa, 7 Disember 2021 | 1:05pm
Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh pada sidang media di pejabat PSB Cawangan Bawang Assan di Sibu hari ini. - Foto NSTP/Mohd Roji Kawi
Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh pada sidang media di pejabat PSB Cawangan Bawang Assan di Sibu hari ini. - Foto NSTP/Mohd Roji Kawi

PSB tawar inisiatif sosial jika bentuk kerajaan

SIBU: Parti Sarawak Bersatu (PSB) menawarkan inisiatif sosial kepada rakyat Sarawak jika diberi mandat membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12), 18 Disember ini.

Presidennya, Datuk Seri Wong Soon Koh, berkata antara yang ditawarkan ialah memperkenalkan endowmen kanak-kanak bagi menggalakkan rakyat Sarawak untuk menetap dan membesarkan keluarga di negeri ini.

Menurutnya, menerusi inisiatif itu setiap keluarga berhak menerima subsidi bulanan menerusi bantuan penjagaan kanak-kanak.

"Bagi kanak-kanak berusia bawah tiga tahun, PSB menawarkan bantuan subsidi sebanyak RM200 setiap bulan, manakala bagi kanak-kanak yang berumur antara tiga hingga lima tahun pula sebanyak RM300 sebulan.

"Bagi kanak-kanak berumur atas lima tahun hingga 18 tahun, kami menawarkan bantuan sebanyak RM500 sebulan," katanya pada sidang media di pejabat PSB Cawangan Bawang Assan, di sini, hari ini.

Menurutnya PSB turut tidak meminggirkan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) apabila turut menyediakan bantuan khas kepada golongan itu.

"Semua warga emas yang kehilangan upaya dan warga Sarawak yang cacat yang memerlukan penjagaan khas akan diberikan elaun jagaan sebanyak RM1,200 sebulan.

"Bagi menggalakkan kebebasan dan maruah diri, warga emas yang berkelayakan diberikan elaun sara hidup RM600 sebulan dan diberikan status istimewa untuk menikmati keistimewaan diskaun dan bantuan dalam kehidupan seharian mereka," katanya.

Soon Koh berkata, tawaran itu antara yang terkandung di dalam manifesto PRN-12 PSB yang akan disiarkan sepenuhnya di media terpilih pada 9 Disember ini.

"Kami tidak akan mengadakan majlis pelancaran manifesto sebaliknya terus menyiarkannya di beberapa akhbar," katanya.

PSB meletakkan 70 calon dengan 10 daripadanya wanita selain menampilkan empat bekas anggota Kabinet Persekutuan iaitu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin dan bekas Menteri Kerja Raya, Baru Bian yang akan mempertahankan kerusi Ba'kelalan.

Dua lagi ialah bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dr Tikie Lafe (Tasik Biru) dan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat (Balai Ringin).

Soon Koh, 79, pula akan mempertahankan kerusi Bawang Assan yang disandangnya selama enam penggal sejak 1991 ketika bersama Barisan Nasional (BN).

Berita Harian X