Selasa, 7 Disember 2021 | 12:20pm

Abang Jo dijangka menang dengan majoriti lebih 4,000

GEDONG: Gabungan Parti Sarawak (GPS) yakin dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong dengan majoriti lebih besar melalui pencalonan pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Penyandang DUN Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais, berkata pihaknya menjangkakan majoriti yang mampu diraih Abang Johari antara 4,000 ke 5,000 undi.

"Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016, ada lebih 7,087 pemilih di sini dan saya menang dengan majoriti 3,365 selepas meraih 4,064 undi.

"Jumlah pemilih kali ini ialah 7,208 dan kita yakin akan dapat majoriti lebih besar antara 4,000 ke 5,000 undi. Keyakinan ini bersandarkan semangat jentera parti di peringkat cawangan, zon dan ranting," katanya kepada BH hari ini.

Pada PRN kali ini, Abang Johari berpindah dari DUN Satok yang dipertahankan selama 40 tahun berturut-turut ke DUN Gedong yang merupakan kerusi luar bandar.

Mohd Naroden yang juga bekas Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri Terminal dan Pembangunan Usahawan negeri memberi laluan kepada Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu bagi membolehkan pembangunan di kawasan luar bandar dipercepatkan.

Sementara itu, Mohd Naroden berikrar untuk terus membantu Abang Johari walaupun sudah tidak mewakili DUN Gedong demi memastikan rancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Katanya, persefahaman itu dicapai antara beliau dan Abang Johari serta dipersetujui pemimpin parti di peringkat akar umbi.

"Walaupun tidak lagi menjadi wakil rakyat, tetapi saya atas kapasiti berbeza akan membantu beliau untuk menyelaras pembangunan di DUN Gedong.

"Saya akan menjadi perantara di antara penduduk dengan beliau dan jika ada masalah, permintaan dan keperluan, penduduk Gedong boleh berjumpa saya dan luahan mereka akan dibawa kepada Ketua Menteri," katanya.

Ditanya mengenai jangkaan prestasi GPS pada PRN kali ini, Mohd Naroden yang juga Penolong Bendahari PBB, berharap pihaknya dapat meraih kemenangan dua pertiga.

Katanya, PBB umpamanya dilihat tidak bermasalah untuk menang di kesemua 47 kerusi ditandingi, begitu juga Parti Rakyat Sarawak (PRS) 11 kerusi dan Parti Demokratik Progresif (PDP) di enam kerusi.

"Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang bertanding di 18 kerusi saya tak pasti kerana mereka bertanding di kawasan bandar di mana DAP masih kuat.

"Saya harap daripada 82 kerusi di seluruh Sarawak, GPS dapat menang dua pertiga iaitu majoriti yang kuat sekali gus membentuk kerajaan yang stabil.

"Ini memudahkan proses penggubalan undang-undang baharu bagi membantu usaha mempertahankan hak Sarawak dan anak negeri dengan berkesan," katanya.

Penyandang DUN Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Penyandang DUN Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Berita Harian X