Selasa, 7 Disember 2021 | 11:39am
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pemulihan PMKS berpaksikan dua pemangkin

KUALA LUMPUR: Kerajaan menggariskan dua fokus utama sebagai pemangkin pemulihan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) khususnya membabitkan aspek digitalisasi dan prinsip kelestarian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pemangkin pertama yang harus difokuskan PMKS ialah memanfaatkan inovasi, digitalisasi serta penggunaan teknologi untuk mendorong agenda pemulihan.

Katanya, bagi pemangkin kedua, pembangunan jangka panjang PMKS harus menerapkan prinsip kelestarian yang meliputi persekitaran, sosial dan tadbir urus ke dalam strategi perniagaan mereka.

"Pelbagai aktiviti menerusi e-dagang termasuklah pembayaran secara digital, pembelajaran jarak jauh, persidangan video serta perkhidmatan logistik adalah perkara lazim di dalam ekonomi hari ini, disebabkan oleh keperluan dan peluang yang semakin meningkat.

"Ini juga adalah antara usaha yang boleh membiasakan PMKS dalam era persaingan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang mana kita dapat melihat kehadiran PMKS dalam talian meningkat dua kali ganda daripada 35.3 peratus yang dicatatkan pada 2019 iaitu pra-COVID-19 kepada 75.8 peratus pada 2021 (pasca COVID)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Tahunan PKS-SMIDEX 2021, di sini hari ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, tumpuan harus diberikan kepada pengurangan kos dan peningkatan produktiviti menerusi kecekapan tenaga, prinsip ekonomi kitaran, amalan penggajian tenaga kerja yang baik serta struktur tadbir urus syarikat yang kukuh bagi memenuhi matlamat kelestarian.

Beliau berkata, pertumbuhan PMKS diberi penekanan yang penting dalam pembangunan ekonomi negara membabitkan strategi yang menjurus kepada inovasi dan pendigitalan, kelestarian dan pertumbuhan inklusif yang dijangka dapat mewujudkan satu ekosistem keusahawanan yang kondusif dan menyeluruh.

"Menyedari hakikat penerapan prinsip kelestarian amat penting dalam strategi perniagaan sesebuah PMKS, saya difahamkan SME Corp Malaysia serta United Nations Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) sedang bekerjasama dalam usaha membangunkan PMKS yang mampan.

"Ia adalah melalui satu platform digital yang dinamakan sebagai Action Centre for Sustainable Development of SMEs (ACCESS).

"Platform ini akan menyediakan PMKS khidmat nasihat, pembangunan kapasiti serta jalinan rangkaian bersama syarikat besar yang terlibat di dalam amalan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta ESG," katanya.

Beliau berkata, kerajaan akur bahawa sektor PMKS adalah antara kumpulan yang paling terkesan akibat pandemik COVID-19, dengan 95.3 peratus mengalami penurunan jualan secara mendadak dalam tempoh awal pembendungan.

Katanya, hampir dua tahun dunia menghadapi krisis kesihatan serta ekonomi akibat pandemik COVID-19, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) melaporkan ekonomi global mencatat pertumbuhan negatif sebanyak 3.1 peratus pada tahun 2020 dan Malaysia turut terkesan dengan pertumbuhan negatif 5.6 peratus pada tahun sama.

"Justeru sejak Mac 2020, sejumlah RM196 bilion diperuntukkan untuk membantu PMKS dalam menangani kesan wabak COVID-19 yang mana langkah itu sudah dan sedang dilaksanakan melalui sepuluh pakej ekonomi yang komprehensif termasuk dua pakej belanjawan tahunan.

"Pakej rangsangan ini bertujuan menangani permasalahan yang dihadapi PMKS terutamanya dari segi pembiayaan, aliran tunai, pengekalan pekerja, pembangunan modal insan dan penerapan teknologi dan digitalisasi," katanya.

Beliau berkata, melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta Bajet 2022, ia menyaksikan hampir semua kategori usahawan merangkumi PMKS, perusahaan sosial dan usahawan tidak formal menerima manfaat.

Katanya, kerajaan turut memperkenalkan beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.

"Tumpuan khusus adalah mentransformasi PMKS sebagai pemacu pertumbuhan baharu serta memperkasakan pendigitalan bagi mengamalkan norma baharu," katanya.

Berita Harian X