Selasa, 7 Disember 2021 | 11:31am

Kerajaan bawa PMKS ke pasaran antarabangsa melalui FTA

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi tumpuan terhadap usaha membawa dan memperluaskan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) kepada pasaran antarabangsa dengan memeterai perjanjian perdagangan bebas (FTA) baharu bersama negara lain selain memanfaatkan perjanjian sedia ada.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata usaha terbabit dalam memperluas akses pasaran dan mempercepat pengantarabangsaan PMKS akan turut dilakukan melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025.

"Tumpuan diberi untuk PMKS beralih daripada pasaran domestik kepada pasaran global untuk meningkatkan daya saing sekali gus membantu PMKS untuk mencapai sasaran iaitu menyumbang sebanyak 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 25 peratus daripada jumlah eksport pada tahun 2025.

"Pelbagai inisiatif akan diteruskan menerusi platform antarabangsa seperti ini dan forum seumpamanya bagi terus menambah baik persekitaran perniagaan serta mengurangkan halangan perdagangan seterusnya memartabatkan industri PMKS di persada antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pameran Tahunan PKS-SMIDEX 2021, di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan terus mempergiatkan usaha bagi menambah baik akses dan peluang pasaran bagi membantu PMKS meningkatkan jualan di pasaran antarabangsa.

Katanya, inisiatif ini dilaksanakan melalui kerjasama G2G serta usaha sama dalam kalangan negara ASEAN dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) serta pertubuhan antarabangsa yang lain.

"Sumbangan PMKS kepada KDNK adalah berjumlah RM298 bilion namun pada 2020, jumlah ini meningkat 72 peratus kepada RM512 billion.

"Kini, PMKS juga memberi peluang pekerjaan kepada 7.3 juta pekerja dan menyumbang RM118 bilion kepada eksport negara," katanya.

SMIDEX 2021 yang dianjurkan SME Corp Malaysia bertemakan 'PMKS: Bangkit Kembali!', dilihat bertepatan dalam membantu usahawan PMKS memulihkan semangat keusahawanan serta bergerak semula setelah terjejas kesan daripada wabak penyakit.

SMIDEX 2021 dianjurkan bermula 1 hingga 23 Disember ini yang mana ia dilaksanakan secara dalam talian melalui portal MyAssis MSME.

Ia menyasarkan RM50 juta potensi jualan dengan 10,000 pengunjung maya menerusi pelbagai program dan aktiviti dilaksanakan iaitu e-pameran membabitkan 150 PMKS, syarikat multinasional (MNC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kementerian dan agensi kerajaan.

SMIDEX 2021 turut menawarkan 300 slot sesi khidmat nasihat, perundingan perniagaan, maklumat bantuan kewangan, fasilitasi perdagangan, sokongan teknologi dan penjenamaan secara dalam talian menggunapakai modul MeetME.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto fail BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto fail BERNAMA
Berita Harian X