Isnin, 6 Disember 2021 | 7:23pm
Foto NSTP/Khairul Azhar Ahmad
Foto NSTP/Khairul Azhar Ahmad

7,292 unit rumah PPR dibina tahun depan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 7,292 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan dibina tahun depan, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Muttalib.

Beliau berkata, pada tahun ini sebanyak 2,503 unit rumah PPR dan 34 projek perumahan PR1MA membabitkan 26,337 unit rumah sudah siap dibina.

"Sebanyak 27 projek perumahan PRIMA membabitkan 20,760 unit masih dalam pembinaan, manakala projek dalam perancangan pula membabitkan 2,264 unit rumah.

"Bagi projek kediaman perkhidmatan awam sehingga 1 Disember lalu, sebanyak 164 projek siap dibina membabitkan 24,717 unit kediaman, manakala 65 projek dengan 14,308 unit kediaman dalam pembinaan dan 18,319 unit membabitkan 44 projek pula sedang dirancang," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat , hari ini.

RUU itu diluluskan dengan suara majoriti membabitkan peruntukan RM1.7 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus dan Perbelanjaan Pembangunan Belanjawan 2022.

Seramai 22 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat jawatankuasa itu.

Mengenai penyelesaian projek PRIMA yang tertunda, Ismail berkata rundingan semula dan sesi libat urus dengan syarikat pemaju dilaksanakan.

Katanya, PRIMA juga memberikan ganti rugi tertentu dan melaksanakan perbincangan berkala dengan pembeli bagi penyelesaian bersama.

Sementara itu, beliau berkata, bagi mengatasi masalah kediaman golongan berpendapatan rendah, kerajaan memperkenalkan inisiatif Rumah IKRAM Keluarga Malaysia.

"Sebanyak 2,000 kediaman disediakan dan setakat ini, sejumlah 232 kediaman sudah ditawarkan dengan bayaran sewa serendah RM124 sebulan.

"KPKT setakat ini menerima 1,026 permohonan dengan 219 tidak lulus, manakala selebihnya dalam proses penilaian sebelum diluluskan," katanya.

Berita Harian X