Isnin, 6 Disember 2021 | 7:22pm
Idris (dua dari kanan) merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-38 Musim Haji 1443H di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Azhar Ramli
Idris (dua dari kanan) merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-38 Musim Haji 1443H di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Azhar Ramli

TH bangunkan sistem haji e-learning untuk jemaah

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan membangunkan sistem Haji e-Learning bermula bulan ini, dengan peruntukan hampir RM3 juta bagi memperkasa cara penyampaian bimbingan ibadat haji kepada jemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata inisiatif digitalisasi itu adalah selaras dengan Kerangka Kerja Haji 2021-2025, selain menjadi satu keperluan pada situasi pandemik ketika ini.

"Saya percaya sudah tiba masanya bakal haji Malaysia melengkapkan diri mereka dengan kemahiran teknologi dan terbuka kepada cara baharu untuk menunaikan haji.

"Jika dilihat pada musim haji 2019 dan 2020, kerajaan Arab Saudi juga sudah memulakan proses urusan haji mereka secara dalam talian bermula daripada permohonan haji hingga pemilihan dan saluran makluman terkini kepada bakal haji terpilih.

"Justeru, saya memuji usaha ini kerana dalam situasi pandemik, cara pembelajaran secara dalam talian bukan sahaja seiring dengan keperluan zaman teknologi, malah menjadi sebahagian daripada norma baharu kehidupan hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-38 Musim Haji 1443H di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaludin.

Idris berkata, kerajaan akan terus menyokong segala usaha dalam meningkatkan kefahaman umat Islam terhadap pelaksanaan manasik haji, sama ada dari segi hukum atau maqasid Syariah serta segala yang berkaitan termasuk prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pada majlis itu, Idris turut melancarkan aplikasi e-TAIB iaitu aplikasi terbaharu yang dibangunkan TH bagi memudahkan urusan jemaah haji untuk bersoal jawab mengenai hukum dan perjalanan ibadat haji semasa di Tanah Suci melalui perbualan langsung bersama guru agama.

Muzakarah berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, bagi memberi peluang kepada lebih 500 Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) dan ilmuan agama berkongsi ilmu serta pengalaman dalam menetapkan keseragaman hukum dan mencari penyelesaian terbaik berkaitan haji, umrah dan ziarah.

Berita Harian X