Isnin, 6 Disember 2021 | 6:53pm
Peniaga kedai makan, Siti Nuraini Nazri (kanan) menggunakan apron berlogo Parti Gabungan Sarawak (GPS) ketika melayan pelanggan di kedainya yang terletak di Medan Selera Lundu di Lundu, hari ini. - Foto BERNAMA
Peniaga kedai makan, Siti Nuraini Nazri (kanan) menggunakan apron berlogo Parti Gabungan Sarawak (GPS) ketika melayan pelanggan di kedainya yang terletak di Medan Selera Lundu di Lundu, hari ini. - Foto BERNAMA

PRN-12 terbesar pernah diadakan di Sarawak

KUCHING: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 (PRN-12) menyaksikan semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan membabitkan seramai 349 calon daripada 10 parti politik serta calon Bebas.

Ia sekali gus menjadikan PRN-12 sebagai yang terbesar pernah diadakan apabila turut membabitkan seramai 1,252,014 juta pengundi merangkumi seramai 619,773 lelaki dan 632,241 perempuan.

PRN-11 pada 2016 lalu, menyaksikan hanya 229 calon bertanding dan membabitkan seramai 1,138,650 pengundi berdaftar.

Kerusi DUN Dudong menyaksikan calon paling ramai bertanding apabila berlaku pertembungan lapan penjuru selain pertandingan enam penjuru berlaku di tujuh kerusi, lima penjuru (24 kerusi), empat penjuru (33 kerusi), tiga penjuru (13 kerusi) dan hanya empat kerusi menyaksikan dua penjuru.

Barisan calon-calon yang akan bertanding di kerusi N.52 Dudong pada PRN Sarawak 18 Disember ini menyerahkan borang pencalonan di Perpustakaan Awang Sibu Jaya hari ini. Dari kiri Wong Hie Ping (PSB), Jane Lau Sing Yee (PBK), Fadhil Mohamad Isa (Bebas), Julius Enchana (PBDSB), Paul Ling Fong (DAP), Josephine Lau Kiew Peng (ASPIRASI), Datuk Sri Tiong King Sing (GPS) dan Engga Unchat (Bebas). - Foto BERNAMA
Barisan calon-calon yang akan bertanding di kerusi N.52 Dudong pada PRN Sarawak 18 Disember ini menyerahkan borang pencalonan di Perpustakaan Awang Sibu Jaya hari ini. Dari kiri Wong Hie Ping (PSB), Jane Lau Sing Yee (PBK), Fadhil Mohamad Isa (Bebas), Julius Enchana (PBDSB), Paul Ling Fong (DAP), Josephine Lau Kiew Peng (ASPIRASI), Datuk Sri Tiong King Sing (GPS) dan Engga Unchat (Bebas). - Foto BERNAMA

Sejumlah 10 parti politik termasuk yang baharu kali pertama menyertai PRN Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) dan Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR).

Turut mencuba nasib pada PRN-12 adalah parti pembangkang tradisi iaitu DAP, PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) serta PAS yang hanya bertanding di satu kerusi iaitu di DUN Beting Maro sahaja.

GPS menjadi satu-satunya parti yang meletak calon di semua 82 kerusi, diikuti PBK yang bertanding di 73 kerusi, PSB (70 kerusi), PKR (28 kerusi), DAP (26 kerusi), ASPIRASI (15), PBDSB (11 kerusi), AMANAH (lapan kerusi), SEDAR (lima kerusi) selain calon bebas bertanding di 30 kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut terpaksa menolak borang pencalonan membabitkan calon PBK di DUN Jemoreng apabila penyokongnya menarik diri selain seorang calon Bebas di DUN Senadin turut ditolak kerana pencadang dan penyokongnya didapati bukan pemilih berdaftar di kawasan berkenaan.

Seorang pekerja feri lemas. - Foto hiasan BERNAMA
Seorang pekerja feri lemas. - Foto hiasan BERNAMA

Antara kerusi tumpuan sudah pasti membabitkan Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Openg yang kali pertama berpindah ke DUN Gedong selepas sembilan penggal mempertahankan kerusi tradisinya di DUN Satok.

Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan terbabit dalam pertandingan empat penjuru membabitkan calon PSB, Mohamad Sofian Fariz Sharbini; Kamal Bujang (AMANAH) dan Tomson Ango (PBK).

Paling mengejutkan adalah tindakan saat akhir Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), bertanding atas tiket Bebas di DUN Krian, walaupun BERSATU secara terbuka mengumumkan tidak bertanding pada PRN-12 ini.

Untuk rekod, Ali adalah penyandang kerusi DUN Krian selama dua penggal selepas memenanginya pada PRN Sarawak 2016 dan 2011 atas tiket PKR selain beliau juga adalah Ahli Parlimen Saratok.

PRN Sarawak : SOP kempen
PRN Sarawak : SOP kempen

Turut dicabar adalah Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian yang akan mempertahankan kerusi DUN Batu Kawah dalam pertandingan empat penjuru membabitkan calon DAP, GPS dan PBK.

Selain itu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen turut berhadapan tentangan Presiden ASPIRASI, Lina Soo, dalam misinya untuk menang di DUN Padungan dalam pertandingan empat penjuru yang turut membabitkan calon PBK dan GPS.

Turut menarik perhatian dalam PRN-12 ini adalah pembabitan orang muda apabila seramai 45 calon berusia bawah 40 tahun dengan calon termuda berusia 24 tahun ditampilkan di DUN Batu Lintang, Cherishe Ng Phuay Hui (PKR) dan Olivia Lim Wen Sia (PBK).

Seramai 141 calon pula berusia lebih 60 tahun dengan calon PSB bagi DUN Bawang Assan iaitu Datuk Seri Wong Soon Koh, 79, adalah yang paling berusia.

Berita Harian X