Isnin, 6 Disember 2021 | 6:26pm
KKM masih mengkaji penggunaan ketum dan kanabis dalam perubatan. - Foto BH
KKM masih mengkaji penggunaan ketum dan kanabis dalam perubatan. - Foto BH

KKM masih kaji penggunaan ketum dan kanabis

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) masih mengkaji penggunaan ketum dan kanabis dalam perubatan dan akan mempertimbangkan penggunaan dua bahan itu jika dibuktikan keberkesanannya.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata pada masa ini kerajaan belum memperoleh bukti saintifik mengenai keberkesanan penggunaan tumbuhan itu.

Beliau berkata, sebanyak enam kajian pra kilinikal sudah dijalankan setakat ini oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengenai ketum.

"Antara kajian itu mengenal bahan kimia dalam ketum dan kajian keselamatan bagi menentukan sama ada ekstrak perubahan mutlak material genetik dalam sel. Kajian ini mendapati ketum selamat digunakan dalam jangka masa pendek.

"Turut dilaksanakan, kajian keberkesanan ekstrak anti malaria dan mutagenik punca pesakit kanser, namun setakat ini ekstrak ketum belum dapat memasuki fasa kajian klinikal kerana kajian keselamatan perlu dilakukan dan masalah utama adalah mendapatkan bahan mentah tetap daripada pembekal," katanya menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan I merangkap Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali ketika memberi ucapan penggulungan Peringkat Jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 pada Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Kesihatan I merangkap Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali ketika memberi ucapan penggulungan Peringkat Jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 pada Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Dr Noor Azmi berkata, setakat ini tiada sebarang kajian dijalankan oleh KKM membabitkan kanabis.

Katanya, kajian dua bahan itu juga terikat dengan yang sedia ada belum mencukupi untuk merombak semula undang-undang dan akta yang ada ketika ini.

"Kajian-kajian ini masih tidak mencukupi, malah memerlukan tempoh kajian lagi. Kita bukan hendak menyekat dan sekiranya perkara baik memang kita nak buat. Dua bahan ini memang terikat dengan akta seperti Akta Racun dan sebagainya. Pada ketika ini, kita ikut akta dan undang-undang," katanya.

Bagaimanapun, Dr Noor Azmi tidak menolak kemungkinan penemuan bukti baharu yang menjelaskan kebaikan kedua-dua bahan berkenaan, sekali gus mengubah akta dan undang-undang pada masa akan datang.

"Saya percaya kerajaan akan meneruskan kajian dan melihat pada dapatan kajian itu. Sekiranya ia mendatangkan lebih banyak kebaikan, jadi kita boleh buat undang-undang supaya kita dapat gunakan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KKM akan menyelaraskan semula keperluan pembelian ubat antiviral bagi rawatan pesakit COVID-19.

Katanya, ia berikutan perkembangan terkini menunjukkan syarikat AstraZeneca dan Pfizer mengumumkan mengeluarkan ubat khusus untuk rawatan COVID-19.

"Pembelian itu mengikut jumlah peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan iaitu sebanyak RM172 juta," katanya menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) yang

mencelah penggulungan membangkitkan kebimbangan mengenai longgokan pembelian ubat antiviral COVID-19 kepada satu syarikat saja.

Pada Oktober lalu, kerajaan melalui KKM menandatangani surat aku janji pembelian ubat antiviral Molnupiravir dengan Merck Sharp & Dohme (MSD).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dilaporkan berkata melalui perjanjian itu kerajaan bersetuju untuk membuat perolehan sebanyak 150,000 pakej rawatan lengkap bagi merawat pesakit COVID-19.

Dr Noor Azmi menjelaskan, pengumuman pembelian ubat antiviral pada masa itu adalah kerana hanya ubat Molnupiravir diumumkan oleh UK Medicine and Healthcare Products Regulatory Agencies sebagai ubat antiviral untuk merawat COVID-19.

Berita Harian X