Isnin, 6 Disember 2021 | 6:25pm

Kes COVID-19 ketika PRN Melaka terkawal

JASIN: Hanya satu kluster membabitkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dikesan dalam tempoh dua minggu selepas pilihan raya itu berlangsung pada 20 November lalu.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang dijalankan berjaya mengawal penularan COVID-19.

Beliau berkata, keadaan itu dapat dilihat apabila kadar kes merekodkan hanya 4.6 peratus peningkatan kes jangkitan dikesan sejak dua minggu lalu.

"Bagi PRN yang sudah berlalu dua minggu, kita ada beberapa kes tetapi kes itu berjaya dikawal dalam kadar disebabkan SOP dan juga kadar vaksinasi yang tinggi di Melaka.

"Kita berjaya mengawal kadar jangkitan COVID-19 ketika PRN dan jika dibandingkan dengan PRN Sabah dalam masa dua minggu sahaja kadar kes (kenaikan) adalah sebanyak 70 peratus tetapi kita hanyalah 4.6 peratus," katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, kluster Pulau Gadong berkaitan PRN itu dikesan pada 21 November lalu membabitkan seorang tenaga pengajar sebuah sekolah yang terbabit dalam kempen pilihan raya.

"Dia kini dikuarantin manakala tempatnya bekerja ditutup sementara operasinya sehingga 18 Disember ini.

"Namun begitu tiada pengundi dikesan dijangkiti COVID-19 ketika mengundi di pusat mengundi seluruh Melaka," katanya.

Menurut beliau, dalam tempoh dua minggu ini juga kemasukan pesakit ke semua hospital kerajaan menurun sebanyak 0.6 peratus selain kadar kesembuhan juga menunjukkan kenaikan.

Sementara itu, mengulas mengenai penutupan sebuah pasar raya di Ayer Keroh, beliau berkata, arahan itu dikeluarkan selepas 27 kes positif COVID-19 dikesan sejak 2 November lalu.

"Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah menerima makluman terdapat empat pekerja warga asing yang bekerja di bahagian bekalan barangan basah disahkan positif.

"Kesemua pekerja sudah diarahkan menjalankan ujian RTK Saliva dan kemudiannya mendapati terdapat 13 lagi positif dan disahkan dengan ujian PCR selain hari ini 10 lagi kes direkodkan menjadi kesemuanya 27," katanya.

Katanya, pengesanan kontak rapat kes ini akan dijalankan sebelum pasar raya itu dibenarkan beroperasi semula pada 12 Disember.

Berita Harian X