Isnin, 6 Disember 2021 | 3:32pm

Air pasang besar kali ini luar biasa

BATU PAHAT: Fenomena air pasar besar di daerah Batu Pahat menyebabkan banjir kilat sekali gus mengakibatkan sejumlah penduduk di Kampung Sungai Kluang, Rengit terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), semalam.

Penduduk turut mengakui fenomena air pasang besar yang berlaku kali ini agak luar biasa dan cepat meningkat sehingga menyebabkan banjir kilat.

Seorang penduduk, Azri Adam, 41, berkata air pasar besar kali ini sangat pantas yang menyebabkan banjir kilat di kawasan kediamannya sekitar jam 9.30 pagi.

"Rumah saya berada kira-kira 300 meter daripada beting sungai dan air pasang mula melimpah ke rumah dengan cepat. Saya dan keluarga tidak sempat menyelamatkan barang rumah serta peralatan elektrik kerana perlu segera menyelamatkan diri.

"Perabot serta peralatan elektrik seperti peti ais, mesin basuh tidak dapat diselamatkan kerana air begitu pantas masuk ke rumah," katanya ketika ditemui, hari ini.

 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Azri berkata, sejak mendiami kawasan berkenaan 24 tahun lalu, kejadian banjir kilat akibat air pasang ini paling teruk mereka alami.

"Rumah saya berada di kawasan yang agak rendah, walaupun air pasang besar sudah mulai surut hari ini, namun kawasan rumah saya masih ditenggelami air banjir.

"Apa yang membimbangkan adalah air banjir berkenaan akan terus bertakung dan berkemungkinan memakan masa seminggu untuk kembali surut dan pulih," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM), Leftenan Muda Suhairi Mat Ali berkata, sebuah PPS dibuka di daerah Batu Pahat menempatkan 25 orang penduduk membabitkan empat keluarga selepas rumah mereka dilanda banjir kilat akibat fenomena air pasang besar, semalam.

"Semua mangsa banjir ditempatkan di PPS di Pusat Latihan Pemimpin Muda (PULAPEM) yang dibuka jam 9 malam.

"Air pasang besar melebihi 3.3 meter pada jam 9 malam melimpah di Kampung Sungai Kluang Laut yang mengakibatkan beberapa buah rumah dinaiki air.

"Petugas daripada pelbagai agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, polis, bomba, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bertugas untuk memantau keadaan," katanya.

Sementara itu, tinjauan di Kampung Punggur Laut Timur, Rengit hari ini, fenomena air pasang besar kembali melanda di kawasan berkenaan bermula jam 10 pagi.

Tinjauan mendapati kawasan kampung berkenaan berhampiran dengan Pantai Rekreasi Punggur, Rengit sebelum air pasang berkenaan mula melimpah ke sungai yang berdekatan.

Pada jam 11 pagi air pasang memasuki ke kawasan hadapan perumahan penduduk dengan ketinggian hampir 0.5 meter sebelum kembali surut pada jam 12.30 tengah hari.

Air pasang besar mengakibatkan rumah penduduk di Kampung Sungai Kluang, Rengit mengalami banjir kilat. FOTO NSTP/ESSA ABU YAMIN
Air pasang besar mengakibatkan rumah penduduk di Kampung Sungai Kluang, Rengit mengalami banjir kilat. FOTO NSTP/ESSA ABU YAMIN
Berita Harian X