Isnin, 6 Disember 2021 | 1:25pm
 Rosmah hadir di Mahkamah Rayuan, Putrajaya hari ini. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Rosmah hadir di Mahkamah Rayuan, Putrajaya hari ini. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Rosmah gagal batalkan kes, gugurkan Sri Ram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah berhubung projek solar hibrid yang dihadapinya dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes itu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama-sama Datuk M Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah sebulat suara menolak rayuan berkenaan selepas membenarkan bantahan awal pendakwa raya yang dinamakan sebagai responden.

Hanipah dalam penghakiman berkata, panel sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati mahkamah jenayah tiada bidang kuasa untuk memutuskan perisytiharan yang dipohon Rosmah bahawa pelantikan Sri Ram adalah tidak sah.

Beliau berkata, apa yang dimohon Rosmah mesti tertakluk mengikut perkara yang boleh dibenarkan Kanun Acara Jenayah.

Pada 24 September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan Rosmah untuk membatalkan pelantikan Sri Ram daripada mengetuai perbicaraan kes rasuahnya.

Dalam keputusannya, Mohamed Zaini berkata, pelantikan Sri Ram oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas adalah sah, selain tiada keperluan untuk membahaskan isu kesahihan berhubung fiat (surat pelantikan).

Perbicaraan kes rasuah itu kini pada peringkat bela diri yang akan bersambung pada 8 Disember ini.

Mengikut pertuduhan, Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu, Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Beliau turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.

Berita Harian X