Isnin, 6 Disember 2021 | 12:44pm
Ismail Sabri melawat gerai pameran Mesra PETRONAS pada Majlis Pelancaran TPB2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - NSTP/Aswadi Alias
Ismail Sabri melawat gerai pameran Mesra PETRONAS pada Majlis Pelancaran TPB2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - NSTP/Aswadi Alias

Enam sasaran utama pembangunan Bumiputera dicapai menjelang 2030

KUALA LUMPUR: Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menetapkan enam sasaran utama untuk dicapai menjelang tahun 2030.

Sasaran pertama adalah menyasarkan pendapatan perusahaan Bumiputera, yang diukur menerusi sumbangan Lebihan Kendalian Kasar (GOS) mencecah 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), atau bernilai RM438 bilion pada tahun 2030.

Mengikut GOS korporat nasional pada 2014 yang berjumlah RM727 bilion, hanya RM81 bilion adalah sumbangan perusahaan Bumiputera.

Lima lagi sasaran di bawah TPB2030 adalah gaji upah pada kadar RM5,169.12; pendapatan isi rumah pada kadar RM18,402.68; kadar pulangan aset kewangan perkapita pada nilai RM4,495.65; jumlah pekerja mahir seramai 3,248,920 orang dan pemilikan kediaman sebanyak 4,758,469 unit.

Ismail Sabri berkata, semua sasaran itu akan dicapai menerusi tujuh Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA), iaitu Pertanian dan Komoditi, Ekonomi Digital, Halal dan Makanan, Kewangan Islam 2.0, Pengangkutan dan Mobiliti Lestari, Pembuatan serta Pelancongan.

Beliau berkata, TPB2030 adalah inisiatif kerajaan dalam membentuk kesaksamaan peluang dari segi ekonomi dan sosio-ekonomi dan seterusnya memperkasakan agenda Bumiputera dinaungi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

"Walaupun Bumiputera adalah kaum majoriti di negara ini, iaitu 20.9 juta orang atau 69.7 peratus, namun status sosio-ekonomi Bumiputera masih di tahap yang memerlukan peningkatan, khususnya kesenjangan kekayaan, jurang pendapatan serta pemilikan aset yang masih rendah.

"Sehingga hari ini, matlamat mencapai 30 peratus penguasaan ekuiti Bumiputera tidak pernah tercapai walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) sudah lama diwujudkan untuk menangani masalah ketidakseimbangan ekonomi pelbagai kaum di negara ini," katanya melancarkan TPB2030 di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Ismail Sabri (tengah) menunjukkan buku pelan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 selepas merasmikannya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - NSTP/Aswadi Alias
Ismail Sabri (tengah) menunjukkan buku pelan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 selepas merasmikannya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - NSTP/Aswadi Alias

Ismail Sabri berkata, TPB2030 menggariskan strategi jelas melalui program pembangunan dan inisiatif yang diselaraskan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan didukung oleh Rancangan Malaysia Ke-12 serta terangkum dalam konteks Keluarga Malaysia.

Justeru, beliau berkata, TERAJU dan agensi pelaksana lain perlu memastikan tadbir urus tertinggi dipraktikkan serta kualiti piawaian diutamakan dalam menjayakan agenda Bumiputera agar tiada yang dipinggir.

"TPB2030 bermatlamat melonjakkan kedudukan Bumiputera melalui merit dan daya saing serta akan berperanan memastikan kesinambungan kepada dasar dan inisiatif pemerkasaan Bumiputera terdahulu.

"Tanpa pembangunan kapasiti dan kemampuan Bumiputera, objektif besar kita tidak akan tercapai. Kita mesti mengambil iktibar dari pelbagai program Bumiputera yang telah diusahakan selama ini tetapi masih gagal mencapai sasaran-sasaran asal," katanya.

Perdana Menteri berkata, semangat di sebalik TPB2030 adalah untuk melahirkan generasi baharu Bumiputera yang berwibawa, berpaksikan nilai-nilai murni, mempunyai sahsiah jati diri yang berintegriti, tidak bertongkat, tabah, berdikari dan kompetitif dari segi usaha dan pemikiran.

"Kita mahukan generasi yang berkebolehan, kelayakan serta mempunyai pengiktirafan agar berupaya merebut peluang di dalam dan luar negara, seterusnya melonjakkan kedudukan Bumiputera sebagai kaum yang terbilang dan bermaruah.

"Generasi kita hari ini akan mempertaruhkan TPB2030 sebagai pusaka warisan, penebus maruah dan pembela martabat Bumiputera sepuluh tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga komited untuk meningkatkan pembabitan perniagaan Bumiputera dalam projek nasional berskala besar dan sedia mengkaji dasar perolehan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

"Kerajaan juga sedang mengkaji mekanisme Jaringan Keselamatan Ekuiti (ESN) bertujuan memastikan saham yang dipegang oleh agensi bermandat Bumiputera kekal dalam kelompok syarikat Bumiputera.

Ismail Sabri (tengah) merasmikan Pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - NSTP/Aswadi Alias
Ismail Sabri (tengah) merasmikan Pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - NSTP/Aswadi Alias

"Mekanisme ini akan diperhalusi supaya dapat mencapai ekuiti dan nilai Bumiputera tanpa memberi kesan terlalu besar kepada daya saing agensi berkaitan dalam urusan pelaburan mereka," katanya.

Bagi memastikan pemerkasaan Bumiputera dipacu sehingga peringkat global, TPB2030 juga akan meneroka potensi bidang berteknologi tinggi, iaitu Bidang Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETA) seperti Teknologi Pembinaan Moden (IBS), Angkasa dan Aeroangkasa, serta Pertahanan dan Keselamatan, yang semuanya adalah industri perniagaan masa hadapan dan berimpak tinggi.

Pada majlis itu, Perdana Menteri juga menyaksikan pertukaran dokumen tujuh memorandum persefahaman (MoU) membabitkan TERAJU dengan rakan strategiknya, termasuk Petronas Dagangan Bhd (PDB) untuk meningkatkan penyertaan usahawan Bumiputera dalam ekosistem kedai Mesra PETRONAS.

MoU dengan Microsoft Malaysia melalui program 'Jobs For The Future' bagi meningkatkan kebolehpasaran 1,000 graduan Bumiputera melalui pensijilan profesional dalam bidang pekerjaan masa hadapan berteraskan IR4.0 seperti jurutera data, pakar kecerdasan buatan (AI), pakar realiti maya.

Kerjasama strategik dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Brainy Bunch untuk menaik taraf kualiti pendidikan prasekolah anak-anak asnaf dan golongan B40.

MoU lain, termasuk dengan Yayasan Sabah; Sarawak Digital Economic Corporation, Serba Digital X dan Tuyang Initititiave; Technology Depository Agency (TDA) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

Berita Harian X