Isnin, 6 Disember 2021 | 12:43pm
Kadar keciciran murid sekolah ketika pandemik COVID-19 bagi tempoh dua tahun sehingga Julai lalu lebih rendah, berbanding keciciran pada 2018. - Foto BERNAMA
Kadar keciciran murid sekolah ketika pandemik COVID-19 bagi tempoh dua tahun sehingga Julai lalu lebih rendah, berbanding keciciran pada 2018. - Foto BERNAMA

Keciciran murid lebih rendah ketika pandemik - KPM

KUALA LUMPUR: Kadar keciciran murid sekolah ketika pandemik COVID-19 bagi tempoh dua tahun sehingga Julai lalu lebih rendah, berbanding keciciran pada 2018, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Katanya, berdasarkan data Kementerian Pendidikan (KPM) seramai 34,074 murid berhenti sekolah pada 2018, berbanding hanya 21,316 murid bagi tempoh Mac 2020 hingga Julai tahun ini.

"Daripada jumlah itu, seramai 11,301 murid berhenti sekolah antara tempoh Mac hingga Disember 2020 dan 10,015 pada Januari hingga Julai tahun ini," katanya menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) mengenai keciciran pelajar sepanjang pandemik COVID-19.

Hang Soon berkata, KPM sudah mengambil beberapa pendekatan mengatasi masalah keciciran itu, termasuk menggerakkan sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi mengesan murid yang tidak hadir Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan hadir ke sekolah apabila sekolah dibuka semula.

"Pihak kementerian sangat prihatin untuk menyelesaikan kadar keciciran dalam kalangan murid dengan menyediakan bimbingan dan sokongan psikososial melalui pelbagai kaedah dan mengadakan perbincangan sekolah dengan ibu bapa bagi menangani murid kurang minat belajar.

"Selain itu, pelan intervensi risiko keciciran PdPR turut dilaksanakan di JPN dan PPD melalui sektor pengurusan sekolah dan sektor pembelajaran serta sektor pembangunan sekolah.

"Turut dilaksanakan langkah pembabitan ibu bapa, komuniti dan swasta serta menyediakan garis panduan mengurus murid risiko cicir bagi rujukan JPN, PPD dan sekolah serta manual pencegahan dan intervensi murid cicir ini," katanya.

Terdahulu, menjawab soalan asal Nik Mohamad Abduh Nik Mat (PAS-Bachok) mengenai Program Pemerkasaan Pelaksanaan Kurikulum (KPMPerkasaKU) bagi memperkukuhkan numerasi dan literasi pelajar di kawasan luar bandar dan pedalaman, Hang Soon berkata, KPM sentiasa berusaha memastikan pendidikan murid terutama dalam aspek literasi dan numerasi diberi keutamaan.

Katanya, kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) adalah aspek yang diberi penekanan dalam pendidikan murid di Tahap Satu, iaitu Tahun Satu, Dua dan Tiga.

"KPM melaksanakan Program Pemulihan Khas untuk murid sekolah rendah yang menghadapi masalah menguasai kemahiran asas 3M.

"Guru pemulihan dengan kerjasama guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik memberi bimbingan bersesuaian kepada murid sehingga mereka dapat menguasai kemahiran asas 3M, selain memperkenalkan Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN) bagi memastikan murid sekolah rendah menguasai sekurang-kurangnya Tahap Penguasaan Tiga dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.

"Pelaksanaan PLaN adalah sebagai program sokongan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang menyeluruh untuk membantu memantapkan kemahiran 3M," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, bermula September lalu KPM melaksanakan Program Pemerkasaan Pelaksanaan Kurikulum (KPMPerkasaKU).

"Program ini dirangka bagi memastikan murid menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi melalui PdP secara bersemuka atau PdPR yang bersesuaian dengan tahap keupayaan murid untuk mengikuti pembelajaran seterusnya.

"Pada masa kini, murid Tahap Satu yang dikenal pasti di sekolah rendah kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman dibekalkan dengan Modul Asas Literasi dan Modul Asas Numerasi bagi mempertingkatkan penguasaan 3M mereka," katanya.

Berita Harian X