Isnin, 6 Disember 2021 | 12:13pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Kerajaan komited babitkan Bumiputera dalam projek skala besar nasional

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited dalam usaha meningkatkan pembabitan perniagaan Bumiputera dalam projek nasional berskala besar, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga komited dalam mengkaji polisi perolehan oleh Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) serta isu-isu berkaitan ekuiti korporat Bumiputera yang masih jauh dari sasaran 30 peratus.

"Sehubungan dengan ini, kerajaan sedang mengkaji mekanisme Jaringan Keselamatan Ekuiti (ESN) bertujuan memastikan saham yang dipegang oleh agensi bermandat Bumiputera kekal dalam kelompok syarikat Bumiputera.

"Mekanisme ini akan diperhalusi agar dapat mencapai ekuiti dan nilai Bumiputera tanpa memberi kesan terlalu besar kepada daya saing agensi-agensi berkaitan dalam urusan pelaburan mereka," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, meskipun Bumiputera kaum majoriti di negara ini iaitu seramai 20.9 juta atau 69.7 peratus, namun status sosio-ekonomi Bumiputera masih di tahap memerlukan peningkatan, khususnya kesenjangan kekayaan, jurang pendapatan serta pemilikan aset yang masih rendah.

"Bumiputera perlu dibantu dengan cara baharu dan lebih berstruktur. Inklusif dari Perlis ke Sarawak hingga ke Sabah, termasuk golongan Bumiputera minoriti. Seperti mana yang saya sebutkan dahulu, tiada yang akan dibiarkan terpinggir atau dilupakan, seiring dengan intipati Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)," jelasnya.

Beliau menambah kejayaan Bumiputera bukan hanya agenda Bumiputera semata-mata, tetapi akan membawa pulangan kepada negara secara keseluruhannya.

"Kita turut mampu memacu agenda Bumiputera ke peringkat global dengan pemerkasaan bidang berteknologi tinggi, mempertingkat kualiti lulusan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)," kata Ismail Sabri.

TPB2030 adalah naskhah rujukan sedekad akan datang bagi pemerkasaan ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera dan merupakan kesinambungan kepada inisiatif serta program-program pemerkasaan Bumiputera.

Berintipatikan sebahagian agenda di dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan didukung oleh RMK12, TPB2030 yang diwujudkan untuk mencapai kesaksamaan peluang dan keberhasilan ini telah dibangunkan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sejak penghujung 2020.

TPB2030 meletakkan enam Sasaran Utama untuk dicapai menjelang tahun 2030 iaitu - Sumbangan Lebihan Kendalian Kasar (GOS) Perusahaan Bumiputera sebanyak 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM438 bilion; Gaji Upah pada kadar RM5,169.12; Pendapatan Isi Rumah pada kadar RM18,402.68; Kadar Pulangan Aset Kewangan Per Kapita pada nilai RM4,495.65; Pekerja Mahir seramai 3,248,920 orang; dan Pemilikan Kediaman sebanyak 4,758,469.

Enam sasaran tersebut bakal dicapai melalui tujuh Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) yang terdiri daripada Pertanian dan Komoditi, Ekonomi Digital, Halal dan Makanan, Kewangan Islam 2.0, Pengangkutan dan Mobiliti Lestari, Pembuatan dan Pelancongan. – BERNAMA

Berita Harian X